Ahli parlimen Ampang Zuraida Kamarudin (PKR) mengecam Menteri Kewangan Najib Razak kerana gagal menyiasat ketirisan dan pengaliran keluar wang haram dari Malaysia yang berjumlah RM889 bilion dalam perbahasan titah Yang Dipertuan Agong di Parlimen.
Mengikut dakwaan pemerhati kewangan antarabangsa, Global Financial Integrity (GFI) Malaysia telah menjadi hub kepada aliran keluar wang haram yang telah menghancurkan kredibiliti negara di mata dunia.
”Laporan GFI menyatakan sejumlah RM889 billion wang haram telah mengalir keluar dalam tempoh 8 tahun (2000-2008) lalu benar-benar mencabar kredibiliti Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia. Malangnya, sehingga hari ini Bank Negara Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang laporan siasatan berkenaan perkara ini.
”Jika merujuk kepada Laporan Audit Kementerian Kewangan 2009, didapati bahawa Jabatan Audit Negara telah membentangkan 18 penemuan audit berkaitan cukai pendapatan, salah satunya adalah kegagalan dalam pemantauan terhadap audit luar,” katanya.
Zuraida menambah, laporan audit juga menyebut wujud ketirisan sebanyak RM28 bllion setahun. Begitu juga dengan kenyataan Brian Wain dalam bukunya yang membuktikan bahawa sebanyak RM340 billion wang negara telah tiris sepanjang 22 tahun pemerintahan bekas Tun Mahathir.
” Namun agak memeranjatkan apabila Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan seolah-olah lepas tangan dalam isu ini, sebaliknya mempertangungjawabkan Bank Negara untuk menjawabnya. Imej Perdana Menteri selaku “Projek Manager” semata-mata tidak akan mampu menyelamatkan negara dari rasuah dan krisis kewangan jika YAB Perdana Menteri sendiri tiada sikap akauntabiliti dan ketelusan dalam kepimpinannya.
”Maka, saya menggesa, agar Perdana Menteri supaya meletak semua jawatan jika beliau selaku Menteri Kewangan sendiri gagal untuk menyiasat dan membuktikan ketidak sahihan dakwaan pengeluaran RM889 billion wang haram oleh GFI, dakwaan ketirisan RM28 billion Laporan Ketua Audit Negara dan dakwaan ketirisan RM340 billion sepanjang 22 tahun pemerintahan Tun Mahathir seperti yang dilaporkan.
”Juga, saya meminta supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan bekerjasama untuk menyiasat dakwaan ketiga-tiga laporan ini kerana ini melibatkan suatu jumlah wang negara yang amat besar, iaitu sebanyak RM1.3 trillion wang rakyat,” katanya.
Menurut Zuraida lagi, jika wang yang tiris itu digunakan untuk kebajikan rakyat maka dengan mudah ia mampu melepasi semua perkara yang dirancang dalam Buku Jingga yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat tanpa perlu dipertikaikan lagi.
1. RM9 billion untuk membaiki 300 sekolah usang yang kini telah diklasifikasikan sebagai ‘menghadapi risiko keruntuhan,
2. RM3.2 billion untuk menaikkan gaji RM500 buat 64,000 orang guru di seluruh negara,
3. RM8 billion untuk menstrukturkan semula sistem subsidi gas memasak dan barangan keperluan harian rakyat;
4. RM8 billion untuk pengambil-alihan syarikat tol bagi menghapuskan konsesi tol yang membebankan rakyat
5. RM5 billion untuk biasiswa pendidikan buat 5, 000 orang pelajar jurusan perubatan, undang-undang dan kejurutaraan negara di seluruh dunia dengan kos RM1 juta seorang,
6. RM5 billion untuk biasiswa pendidikan buat 10,000 orang pelajar jurusan perniagaan, bidang kreatif dan teknologi perkomputeran negara di seluruh dunia dengan kos RM500,000 seorang,
7. RM4 billion untuk biasiswa pendidikan rakyat buat 100,000 ribu orang mahasiswa tempatan peringkat diploma pelbagai jurusan bagi mengantikan Tabung Pendidikan PTPTN yang membebankan lepasa graduan, dengan kos RM40,000 seorang, dan
8. RM7 billion untuk biasiswa pendidikan rakyat buat 100,000 ribu orang mahasiswa tempatan peringkat ijazah pertama pelbagai jurusan bagi mengantikan Tabung Pendidikan PTPTN yang membebankan lepasan graduan, dengan kos RM70,000 seorang.
Jumlah untuk kesemua lapan program yang dirancang Pakatan Rakyat ini hanya melibatkan sebanyak RM49.2 billion, iaitu hanya 1.54% daripada jumlah dakwaan ketirisan RM1.3 trillion yang dilaporkan.