Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam kerajaan BN kerana ketandusan idea berdepan dengan tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat sehingga terpaksa memainkan isu baru di sekitar video seks yang kononnya pemimpin ulung PKR itu terlibat.
Anwar menganggap fitnah pemimpin Umno yang diperbesarkan oleh media arus perdana itu sebagai percubaan memperbodohkan fikiran rakyat yang telah celik semenjak 2008. Apabila tuduhan sama, liwat dan zina diulang-ulang maka tidak akan ada siapa yang sanggup menerimanya lagi. Sebaliknya situasi overkill (terlampau memusnahkan lawan) itu akan menimbulkan rasa belas kasihan terhadap mangsa.
“Kita bawa Buku Jingga, dia nak alih pandangan kita. Kita bukan bodoh. Mana ada orang sebar video lucah tetapi tidak ditangkap. Editor Star ditangkap tetapi kemudian dibebaskan
“Apa punya sistem negara ini. Dia boleh guna media kecam kita dari pagi sampai malam, kita hendak jawab tidak ada permit ceramah.
“Saya tak salahkan polis. Dia ikut peratruran yang dibuat. Saya salahkah Najib dan Rosmah yang tidak berani berdepan dengan kita.
“DNA dalam lubang dubur pun dicarinya saya. Banyak orang yang bertanggungjawab,” kecam Anwar disambut ketawa dari 5,000 hadirin di perkarangan pusat khidmat parlimen Gombak, di Bandar Melawati malam tadi.
Seterusnya Anwar menyambung: “Sekarang ini video seks, siapa perancang utama?”
Hadirin bersorak: “Thamby Chik!”
“Ayoyo! Umno Tak ada orang lain lagi ke? Polis tidak tahukah siapa Rahim ini? Sekarang orang ini jadi dewa saya pula jadi crook. Perogol jadi pemimpin kita jadi penjenayah,” jawab Anwar
Anwar memuji ahli parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul yang menjadi umpan PKR dalam menelanjangkan makar yang cuba diatur oleh pemimpin Umno. Johari ditawarkan untuk melompat keluar PKR dengan sejumlah wang selepas dipertontonkan video lucah. Sehari selepas itu beliau mendedahkan identiti Datuk T dan tawaran pemimpin Umno kepadanya jika meninggalkan PKR.
“Datuk Johari Abdul kita salut, itu pahlawan. Dia tanya saya (ketika dipanggil untuk menonton video), Rahim Thamby Chik nak jumpa. Pergi jumpa, saya kata. Dengar dia. Tunjuk you goyang. Hendak tengok bagaimana perangai pemimpin Umno.
“Dia pergi jumpa, malam itu terus lapor pada saya. Saya kata Johari you sudah lulus ujian. Apa sumbangan you. Sumbangan you ajar pemimpin Umno yang bacul dan rasuah ini. Tidak semua orang sanggup digadai kerana wang ringgit,” ucap Anwar.
Pada masa yang sama beliau mengingatkan anak muda agar terus menerangkan agenda perubahan melalui semua medium yang ada; facebook, twitter atau blog. Dengan cara itu sahaja BN mampu ditumbangkan dalam pilihan raya akan datang.
“Anak muda yang cetuskan perubahan di Mesir dan Tunisia. Anak muda tidak ada kuasa, tidak ada wang tetapi ada integriti, semangat. Mereka boleh tumbangkan firaun kecil di Mesir. Kalau firaun boleh tumbang apatah lagi cicak mengkarung,” katanya disambut laungan reformasi.
Anwar juga mengulas komen terbaharu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom yang menganggapnya mengamalkan Islam plural.
“ Menteri agama kata Anwar sekarang bawa ajaran baru yang mungkin menyesatkan . Faham pluralisme. Katanya semua agama sama. Saya jelaskan, saya Islam dan patuh pada akidah, akhlak tetapi saya hormat hak penganut agama lain. Tolak ansur dengan mereka. Dia ada hak dia. Tidak ada paksaan dalam agama ( ke atas bukan Islam),” bidasnya.
Bagaimanapun ceramah itu dirempuh sepasukan 10 anggota FRU kira-kira pukul 11.00 dengan alasan tiada permit, sedangkan ia dilakukan di perkarangan pusat khidmat ahli parlimen Gombak, kawasan persendirian yang tidak memerlukan permit polis.
Tidak seperti biasa, pegawai polis hanya memberi amaran untuk menghentikan ceramah namun mungkin pihak BN gusar dengan pendedahan PKR maka polis diarahkan menggempur terus ceramah itu dengan sasaran utama menarik keluar Anwar dari para penyokongnya.
Bagaimanapun, kemaraan polis dihalang oleh benteng para reformis. Rempuhan FRU ke pentas ceramah untuk membawa pergi Anwar berjaya dipatahkan. Tolak-menolak berlaku selama sepuluh minit diselang seli laungan takbir dan laungan reformasi.
Orang ramai tidak berundur. Malah kira-kira 2,000 hadirin dari khemah berhampiran menyerbu polis dan mengasak mereka dari belakang. Beberapa objek dibaling. Kira-kira 20 orang polis, sepuluh daripadanya FRU terperangkap di tengah-tengah hadirin yang berang.
Hal itu membuat Anwar mengambil keputusan untuk turun dari pentas dan diiringi polis menuju ke anjung pusat khidmat.
Lebih banyak objek dibaling dan orang ramai mengepung polis sepenuhnya bagi mengelakkan Anwar diheret pergi.Hadirin berteriak kepada polis: “Ceramah sudah habis, polis balik!”
Fasa kebangkitan baru rakyat
Berpuluh-puluh warga emas lelaki dan wanita turut sama menjadi benteng manusia mempertahankan Anwar di anjung pusat khidmat. Sesuatu yang belum pernah disaksikan di dalam mana-mana pertembungan antara penyokong PR dengan pihak polis yang kebiasaannya melibatkan golongan muda.
Pengendali majlis memainkan lagu PKR dan penyokong PR menyanyi bersama. Drama percubaan polis membawa keluar Anwar namun akhirnya polis yang terkepung berakhir kira-kira 20 minit kemudian apabila pihak PKR dan polis bersetuju untuk masing-masing keluar dan mengosongkan persekitaran premis pusat khidmat itu tanpa apa-apa provokasi pada jam 11.50 malam.
Anwar, Azmin Ali, Shamsul Iskandar, Aminudin Shari dan beberapa pemimpin PR lain kemudiannya diiringi kira-kira 500 penyokong menyusuri jalan belakang bangunan bagi menghindarkan kepungan polis di jalan utama. Para penyokong berbaris di tepi jalan untuk bersalaman.
Lebih ramai penyokong PR datang mengiringi Anwar apabila menyedari pemimpin PKR itu akan berada di kawasan terbuka berhampiran lebuh raya MRR2 di hadapan Bandar Melawati. Mereka mengepung kawasan yang menjadi laluan Anwar
Oleh kerana jalan masuk ke bandar itu telah ditutup maka kenderaan yang akan membawa keluar Anwar tidak boleh masuk. Pada pukul 12.10 penyokong PR terpaksa menghentikan lalu lintas di MRR2 untuk membawa Anwar ke seberang jalan.Mereka melaungkan reformasi. Separuh penyokong tinggal di seberang jalan, beberapa orang di tengah-tengah pembahagi jalan dan separuh lagi di sebelah bandar Melawati. Situasi itu mengimbas kenangan demo 100,000 rakyat di lebuh raya Kesas Shah Alam pada tahun 2000 lalu.
Anwar bagaimanapun selamat dibawa keluar pada jam 12.30 malam. Sebelum itu para penyokong PR tidak putus-putus menyalami dan memeluknya. Satu fasa baru kebangkitan rakyat telah bermula.