Pengenalan cukai RM50 ke atas pemegang kad kredit dan RM25 ke atas kad tambahan yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2010 lalu bagi mengurangkan jumlah hutang kad kredit tidak menunjukkan kejayaan yang memuaskan.
Sehubungan itu, ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menggesa agar kerajaan melupuskan peraturan tersebut kerana ia membebankan pengguna kad kredit yang sedia berhutang dan tidak terbukti hutang kad kredit di Malaysia telah berkurangan sepanjang penguatkuasaannya.
“Bank Negara Malaysia melaporkan hutang kad kredit di negara ini telah berkurangan sejak kerajaan memperkenalkan cukai ke atas pemegang kad kredit. Begitu juga jumlah kad kredit di pasaran telah berkurangan sebanyak 19.4 peratus dan hutang berkurangan daripada RM115.9 bilion ke RM113.8 bilion sejak awal 2010 hingga penghujung tahun.
“Bagaimanapun, hutang tertunggak semasa telah bertambah sebanyak 10.4 peratus dari RM24.3 bilion ke RM26.8 bilion. Lebih buruk, hutang semasa tertunggak untuk tempoh 6 bulan melebihi 12.9 peratus dari RM62.1 juta ke RM70.1 juta.
“Ketika bajet 2010 didebatkan di parlimen pada hujung 2009 saya merayu kepada Menteri Kewangan untuk timbangkan semula cadangan memperkenalkan cukai ke atas pemegang kad yang bagi saya tidak efektif bagi mengurangkan hutang kredit kad.
“Masalah yang timbul hanyalah menakutkan pengguna kad kredit, walaupun bagi mereka yang tidak berhutang. Ia terbukti apabila pemegang kad kredit semakin mengecil jumlahnya namun jumlah hutang sebaliknya tidak pula menurun,” kata Tony.
Bagaimanapun, bantahan ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu tidak dihiraukan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Hueng. Bagi Tony, syarat baru yang lebih ketat kepada pemohon kredit kad seperti menaikkan had pendapatan dari RM18,000 setahun kepada RM24,000 adalah langkah bijak. Namun Bank Negara juga perlu mengetatkan had penggunaan kredit dibenarkan kepada pemegang kad yang tidak berhati-hati dalam menguruskan kewangan mereka
“Dengan pengenalan had pendapatan membuktikan kempen setahun lalu mengenakan cukai tambahan tidak efektif dalam mengurangkan hutang kad kredit. Kita menggesa Menteri Kewangan untuk menarik balik peraturan cukai tambahan tersebut untuk tidak manambah beban kepada pemegang kad kredit yang telah sedia menanggung beban berat membayar kadar faedah tinggi untuk hutang tertunggak kad kredit mereka,” jelasnya.