Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) diberikan perkenan mengadap Raja Muda Negeri Perak, Raja Dr Nazrin Shah baru-baru ini di Istana Raja Muda, Ipoh. Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Munir Ali sepanjang pertemuan itu pihak Pemuda telah membincangkan agenda pembangunan Islam di Negeri Perak.
“Antara hasil perbincangan adalah berkaitan tulis jawi yang telah dititahkan oleh Raja Dr Nazrin Shah baru-baru ini dan juga usaha menemukan antara Tan Sri Dr Haji Harussani Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak dengan Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Al-Mursyidul Am PAS yang akan turut diperhalusi.
“DPPN Pk yakin perbincangan yang telah diadakan semasa majlis mengadap semalam akan membuahkan hasil bagi memastikan agenda Islam di Perak akan terus dipelihara dan berkembang dengan baik. DPPN Pk juga yakin penekanan Raja Dr Nazrin Shah terhadap perkembangan dan kemajuan aspek pendidikan Islam di Perak, terutama di peringkat pengajian tinggi juga akan diambil perhatian yang serius.
“DPPN Pk merakamkan ucapan terima kasih di atas perkenan Raja Dr Nazrin Shah menerima rombongan DPPN Pk merafak sembah mengadap bagi tujuan tersebut,” katanya.