KOTA BHARU, 10 Jan: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Nazran Muhammad berkata sekiranya pihak Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan bagi membina longkang besar di kawasan (perumahan) Taman Pemuda dan Taman 13th Avenue di Wakaf Stan dekat sini banjir kilat di kawasan itu tidak akan berlaku.
Beliau yang juga mantan Setiausaha PMKB-BRI yang kini baru dilantik ke jawatan Yang Dipertua mendakwa punca terjadi banjir kilat di kawasan perumahan itu kerana tidak ada ‘longkang utama’.
“Ini kerana pembinaan longkang tersebut membabitkan kos.
“Namun kita telah pun memaklumkan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, dan mereka telah pun mengangkat bajet untuk tujuan itu dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)sejumlah RM83 juta bagi seluruh Jajahan Kota Bharu termasuk kawasan perumahan itu untuk dilaksanakan,” katanya kepada media di sini petang semalam.
Beliau dipercayai merujuk siaran media harian hari ini yang memetik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamed mendakwa masalah banjir di kebanyakan kawasan perumahan khususnya di sekitar Kota Bharu adalah kerana sistem perparitan lemah, dikenal pasti sebagai punca beberapa kawasan dinaiki air.
Justeru Mustapha meminta kerajaan negeri mencari jalan menyelesaikan masalah perparitan tidak sempurna menyebabkan penduduk mengalami masalah banjir sedangkan kawasan perumahan di negeri ini tumbuh bagaikan ‘cendawan’.
Dalam perkembangan berkaitan, satu kenyataan media dikeluarkan MPKB-BRI khususnya mengenai masalah banjir kilat dan air bertakung di Taman Pemuda/13th Avenue di Wakaf Stan dekat sini.
Menurutnya, kawasan di sekitar taman itu rancak dengan pembangunan perumahan kediaman, namun tidak disediakan laluan untuk saliran air keluar dengan teratur mengakibatkan berlakunya banjir kilat apabila hujan lebat turun berterusan pada Khamis dan Jumaat lepas.
Justeru sebanyak empat buah banglo di Taman Pemuda dan 13 buah kediaman jenis yang sama di Taman 13th Avenue bertakung be takung air sedalam dua kaki (dalam rumah) dan paras dada di kawasan luar rumah.
Nazran berkata, langkah segera dilakukan ialah dengan menggali parit sementara bagi mengatasi masalah tersebut.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, pihak MPKB-BRI akan berunding dengan pihak JPS bagi mengadakan system perparitan yang sempurna.
“Ini termasuklah dengan mengadakan longkang besar jenis “monsoon drain”,” katanya.