Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mengakui Pakatan Rakyat (PR) belum bersedia memimpin negara jika berpeluang berbuat demikian dalam masa terdekat kerana masih belum ada pemimpin yang layak menjadi perdana menteri selain Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu berkata, sebelum Anwar dimasukkan ke penjara, ramai yang mengharapkannya menyandang jawatan tersebut sekiranya PR berjaya merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).
“Setakat ini, tiada pemimpin yang layak menjadi perdana menteri. Sebelum ini, kita harap Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, tetapi sudah takdir dia dimasukkan ke penjara,” katanya seperti dilaporkan edisi Ahad Berita Harian, Berita Minggu hari ini.
Pada masa sama, Husam berkata masih banyak yang perlu ditingkatkan pemimpin PR daripada segi strategi, sebelum mereka dapat memimpin negara ini.
“Jika dapat mengambil (menawan) Malaysia, penggal pertama kita tidak boleh ubah lagi negara ini,” katanya.