Oleh Redzuan Shamsudin
Petang ini sungguh nyaman. Hari raya ke dua belas. Aku duduk di atas tangga batu rumah papan usang di pinggir kota. Menunggu tetamu yang masih belum tiba.
Ya, sore yang indah. Mentari menguning memancar cahaya emas ke mana-mana. Ke dinding-dinding rumah jiran.Inilah rumah-rumah Melayu di pinggir kota Kuala Lumpur. Memang kota ini telah maju tetapi Melayu bukanlah pilihan untuk dibela.
Esok 31 Ogos 2012. Medeka. Ada apa dengan merdeka. Aku telah tua. Tua menjaga diriku tanpa anak dan isteri.Merdeka telah lenyap dari hidupku sejak 1960an.
Sejak itu aku dijajah igauan ngeri yang dihadiahkan rejim berkuasa. Tahun ini parti-parti politik berebut tentukan tema kemerdekaan. Sedangkan aku telah lama memulau sambutan merdeka. Usahkan tema malah mendengar kalimatnya aku tidak sudi.
Angin lembut mengusap tubuh. Kenderan di jalan raya di kejauhan tidak pernah surut. Remaja dan muda-mudi berlumba motorsikal menghala ke tengah kota. Ya, malam ini, jam 12, merdeka. Konsert di Dataran Merdeka. Merdeka anak muda sama erti tanggalkan baju dan telanjangkan iman.
Astaghfirullah…. anak-anak muda zaman ini. Yang tidak tahu bagaimana perih generasi terdahulu memperjuangkan negara. Ah, aku seorang tua menjangkau 80an. Tiada siapa akan mendengar bebelanku. Perjuangan. Peluru. Penjajah dan petualangan.
Merdeka bagi generasi muda mudah – terima sahaja propaganda pemerintah yang dipantak ke telinga. Menjajah otak dan jiwa. Konon kata Dr Mahathir penjajahan bentuk baru apabila kuasa Barat menekan ekonomi negara membangun. Tetapi bukankah kerajaan BN mempraktikan semua itu menjajah fikiran anak bangsa. Tiada siapa yang mampu membangun negara lebih baik dari BN, BN dan BN. Tidak sedarkah mereka, Hong Kong tidak pernah pun merdeka tetapi penduduknya lebih kaya dari Malaysia?
Sesungguhnya itu bukan yang kami perjuangkan dahulu. Kami mahu yang bermaruah. Tidak ditindas oleh penjajah kulit putih mahu pun penjajah kulit berwarna dari bangsa sendiri. Bukan merdeka jika peralihan penindasan dari kulit putih ke kulit berwarna.
Tetapi petang ini sentimental buatku. Ya, panas mentari itu. Angin dan waktu lewat jam 5.00. Ya, 60 tahun lalu. Aku juga anak muda berjiwa optimis. Selepas lulus peperiksaan LCE , aku bekerja di kota ini pada awal 1960an.
Aku juga sama seperti ahli politik itu, saban hari berdebat. Cuma aku sertai politik untuk naikkan martabat bangsa bukan merompak kekayaan negara.
Ah, aku begitu sentimental hari ini. Jiwaku mungkin lebih damai dalam dua, tiga hari ini setelah didatangi seorang anak muda, pelajar tahun akhir Fakulti Sejarah Universiti Malaya. Katanya untuk mencari pejuang-pejuang lama. Entah siapa yang menunjuk aku di sini.
Tesisnya berkisar perjuangan kiri sebelum dan sesudah merdeka. Aku kurang arif period sebelum 1957. Umurku masih remaja, namun aku telah menyertai politik secara serius selepas itu. Sebaik aku bekerja sebagai kerani di kota ini aku menyertai Socialist Front. Parti yang dipimpim Ahmad Boestamam. Hero gerakan kiri, penulis buku ‘Testament Politi Api’.
“Assalamualaikum…..”
Aku berpaling. “Waalaikum salam. Iskandar….” sambutku. Akhirnya anak muda ini datang jua. Terlewat setengah jam dari janji.
“Silakan masuk,” pelawaku.
“Macam biasa pakcik. Ditangga saja, banyak angin,” tolaknya. Wajah pemuda ini putih mulus dan sering tersenyum. Ah, kalaulah anak lelakiku tidak malu mengaku aku ayahnya, wajahnya iras seperti Iskandar. Begitu menyenangkan. Tampan, sopan, bergaya.
“Pakcik melamun jauh….” tegurnya ketika punggungnya mencecah simen tangga.
“Kau masih muda Iskandar. Tak banyak keresahan orang tua yang perlu kau tahu. Zaman muda untuk enjoy…”
“Tak semua pemuda macam tu pakcik,” balas Iskandar
Aku tertawa menyindir. Iskandar seperti biasa mengeluarkan buku nota bersama alat perakamnya.
“Apa yang kau nak tahu hari ini? Pak cik ke dalam dulu buat minuman,” kataku.
“Tak perlu pakcik. Saya bawakan goreng pisang dan teh tarik dalam plastik,” dia menolak beg plastik ke hadapanku. Tiga uncang plastik dikeluarkan. Satu plasik air untuk dinikmatinya.
“Ah, banyak sangat yang peribadi menggangguku beberapa hari ini. Lekas tanya apa yang pak cik boleh jawab?” putusku.
“Kalau begitu kita mulakan. Saya nak tahu kisah pakcik dalam gerakan pemuda sosialis awal 1960an. Boleh pakcik mula dari situ?” tanyanya.
“Mungkin ada yang aku dah lupa, tarikh, masa ….
“Yang pakcik ingat sahaja,” terus Iskandar.
“Waktu itu suasana bergelora. Komunis meneruskan perjuangan bersenjata di hutan. Umno, MCA, MIC dalam gabungan Perikatan mula ditolak rakyat di beberapa negeri. Di pantai Timur PAS mendapat tempat.
“Benar Tunku Abdul Rahman menguasai sokongan Melayu. Tetapi banyak Melayu yang tidak sabar dengan karenahnya. Dia lambat membawa kemajuan. Kami dalam sosialis kata Tunku boneka barat. Waktu itu Menteri Pertanian Aziz Ishak mahu bina kilang baja di Malaya, Tunku bantah dan bertegas baja mesti diimport.
“Pemuda sosialis menentang dasar Tunku. Kami mahu merdeka secara total. Kita buat semua barang keperluan dalam negeri, keuntungan kembali kepada negara. Mengapa perlu import benda yang boleh dibuat sendiri. Jawapannya tauke-tauke yang dekat dengan Perikatan mahu perniagaan. British pula tidak mahu hilang peluang ekonomi. Ladang getah Guthrie dan Sime Darby dibenar terus-terusan dimiliki warga British.
“Di negara sosialis semua akan dimilik negara. Itulah yang aku kempen kepada orang Melayu ketika itu. Aku timbalan Ketua Pemuda kawasan dan aku berceramah di banyak tempat,” kataku.
Aku melirik Iskandar, nampaknya anak muda ini tidak faham perkataan tadi perlu disokong. Perjuangan rakyat marhean. Sebaliknya, dia leka menyalin nota sebelum terpancul pertanyaan baru dari mulutnya.
“Tetapi bukankah Tunku berjaya mengurangkan ancaman komunis yang banyak meresapi rakyat waktu itu?”
“Bukan pasal komunis,” bantahku. “Komunis lain. Walaupun kami sama-sama tuntut Malaya diperintah oleh kerajaan anti penjajah. Pernah dengar Sosialist Front?
Iskandar mengangguk.
“Kami menang di banyak kawasan Pilihan Raya Majlis Tempatan 1959 dan 1965. Bukan kerana rakyat sokong perjuangan bersenjata mereka undi sosialis. Mereka mahukan kerajaan yang benar-benar membela rakyat. Perikatan tewas di bandar-bandar besar; Pulau Pinang , Selangor, Kuala Lumpur, Ipoh. Sosialist Front lebih mendasari masalah rakyat. Perikatan lindungi kepentingan penjajah
“Kerana itu Perikatan cari jalan untuk hapuskan sosialis. Tokoh-tokoh sosialis ditangkap ISA atas alasan sokong perjuangan komunis, perjuangan Soekarno dan macam-macam lagi. Adakah komunis semuanya jahat? Tidak juga, rejimen ke-10 PKM dianggotai orang Melayu. Dipimpin Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh. Mereka dari API dan AWAS. Selepas British haramkan gerakan kiri mereka diburu. Mereka lari ke hutan bergabung dengan PKM. Tetapi bagi mereka PKM adalah Pergerakan Kebebasan Malaya. Pernah baca memoir Abdullah CD?
“Pernah dengar tetapi belum pernah baca,” akui Iskandar
Aku menarik nafas dalam. Ah, kalau bukan kerana wajahnya seiras anakku, budak menjengkelkan ini sudah aku halau pulang.
“Bagaimana pakcik hadapi suasana 1960an itu?”
“Kau pernah dengar 13 Mei, aku antara yang menghimpunkan penyokong. Perarakan kemenangan dibenar undang-undang waktu itu. Rakyat Semenanjung tolak Perikatan secara menyeluruh. Pulau Pinang jatuh ke tangan Gerakan.
“Kelantan tumbang ke tangan PAS. Selangor 50 – 50. Sepatutnya Perikatan bukan kerajaan selepas 1969 kerana itu 13 Mei dicetuskan. 13 Mei bukan datang dari DAP atau Sosialist Front, sebaliknya dirancang oleh unsur-unsur dalam Umno. Siapa yang beri pidato berapi-api di rumah Dato’ Harun, di Kampung Baru. Dato’ Harun kumpulkan orang Melayu di situ.
“Tak ada internet seperti sekarang. Semua percaya kata-kata Umno, kononnya orang Cina bunuh Melayu. Melayu keluar bawa parang, kerambit, kapak mengamuk pada petang 12 Mei di Kampung Baru. Cina banyak mati. Pasukan tentera mengepung Kuala Lumpur. Waktu itulah aku lari ke pantai timur…..”
“Pakcik bersembunyi?” potong Iskandar
“Ya. Namaku terdapat dalam senarai ISA. Anak tunggalku baru lahir…. Aku bukan takut, bersembunyi kerana prinsip. Hak manusia sejak lahir adalah menikmati kebebasan. Mereka hanya boleh dikurung jika buat salah. Aku berjuang, apakah aku salah kerana berbeza pendirian politik?
“Ah, aku tak kan mengenang detik sial itu lagi….!”
“Kenapa?”
“Politik merenggut seluruh kebahagian hidupku”
“Boleh cerita sikit. Saya tak masukkan dalam kajian. Off record,”
Aku tersenyum sinis. “Kau jadi wartawan sebelum masa. Bukan semua off record mereka tak tulis”
“Janji. Off record”
Aku terdiam melawan gelora perasaan. Apa salahnya budak ini tahu sensara hidupku. Mungkin tidak lama lagi aku telah tiada, dan tidak perlu malu jika ceritaku ditulis. Aku teruskan. “Perkahwinan kami tak direstui mertua. Isteri aku dari keluarga terhormat,” kataku dalam satu nafas.
Iskandar terus mendongak inginkan jawapan. “Ya, kami kahwin juga. Bapa mertuaku pemimpin Umno. Dia benci aku berjuang untuk sosialis. Aku lari ke Gerik, Perak lepas 13 Mei. Kerja kampung di sana. Selepas 6 bulan aku pulang. Tapi isteriku dah termakan pujukan ayahnya. Dia tak lagi terima aku sebagai suami.”
“Pakcik tak pujuk?”
“Susah. Aku dicap komunis. Gelombang tangkapan ISA beberapa siri. Aku dapat maklumat akan ditahan. Aku sembunyi lagi. Kehidupan sebagai sosialis amat sukar. Pernah aku diusir dari sebuah kampung bila orang kampung dapat tahu aku buruan ISA. Aku hilang semua; pekerjaan, isteri dan anak. Keluarga mertua sembunyikan anakku.”
Mata kupejamkan. Ah, betapa siksa mengingat perkara paling pedih. Lebih siksa lagi menceritakannya. Seakan pedang menghiris jantung. Aku membuka mata. Petang itu mendekati senja. Angin sepoi-sepoi bahasa tidak langsung menenangkan gelora hati. Aku memandang Iskandar. Ya, anakku itu. Tampang seperti pemuda ini. Saling tak tumpah.
“Minum dulu pakcik. Teh tarik tu dah sejuk,” pujuk Iskandar.
Kubuka ikat bungkusan. Kusedut airnya dan kekecewaan masuk ke dalam perut bersama teh itu.
“Tapi sekarang keadaan dah berubah pakcik. Tak ada lagi komunis, pakcik boleh jumpa anak pakcik,” kata-kata Iskandar mendamaikan.
“Tidak. Dia tak sangup berayahkan seorang komunis. Isteriku kahwin lain. Anakku dapat ayah tiri yang dianggap ayahnya sendiri. Lebih baik begitu.”
“Komunis dah tiada pakcik…..” bangkang Iskandar
“Benar, selepas Chin Peng tandatangan perjanjian damai Haadyai dengan Rahim Noor dan kerajaan Malaysia, ahli PKM diberi tanah juga rumah di sempadan Thailand. Mereka diberi pampasan beberapa ribu ringgit kerana sanggup letak senjata
“Tapi komunis tidak pernah selesai di negara ini. Tuduhan tidak pernah selesai ke atas aktivis sosialis. Dua bulan lalu polis kata komunis cuba meresap masuk ke parti politik pembangkang. Lihat hantu lama itu telah hidup kembali …”
“Tapi ISA dah tak ada. Negara ini dah maju…..”
“Hah, semua bangsa boleh bina kemajuan. Tapi kos kemajuan BN sangat tinggi. Duit cukai rakyat hilang begitu sahaja. Itu bukan kemajuan tapi penyelewengan…. Siapa yang persoal BN songlap duit hukumnya penjara.
“Konon orang Melayu maju. Tapi ambil hak orang lain. Lihat Kampung Baru. Tanah dirampas dari penduduk asal untuk bina bangunan tinggi. Kampung Baru kubu Melayu terakhir di KL. Tidak bolehkah beri pinjaman kepada penduduk membangun sendiri hartanah mereka. Bukan BN ambil dan beri kepada kroni . Di Johor ratusan ribu ekar tanah Melayu hilang. Lebih kuat Melayu sokong Umno, lebih teruk mereka ditindas.”
Iskandar senyum menyeringai. “Kalau boleh saya tahu isteri dan anak pakcik di mana sekarang?”
Aku menggeleng kepala. Pertanyaan itu keterlaluan. Namun wajahnya yang membibit kerinduan kepada anakku satu-satunya, membuat aku sukar menolak. Ya, biarlah dia lebih lama di sini, tanya apa sahaja. Dan aku bisa berkhayal menjawab pertanyaan dari anak sendiri.
“Isteriku Nor Aishah M Hamed. Senator Nor Aishah…”
Iskandar tergamam. “Senator Nor Aishah?” tanyanya ingin kepastian.
“Ya, kalau bukan politik Umno itu kejam dia masih isteriku. Anakku Hassan masih anakku!”
Kami terdiam beberapa minit. Iskandar menghabiskan minumannya, cepat menyiapkan nota catatan. Aku menelan beberapa ketul goreng pisang.
Kemudian muncul suara dari mulut Iskandar dalam nada memujuk. “Tak patut pakcik di biar begini. Sampai anak pun tak mahu menjengok”
“Dia Ketua Pemuda Umno. Tentu malu mengaku ayahnya komunis. Aku tak salahkan dia. Aku tak upaya mendidiknya….. itu takdir…..ketidakupayaan manusia menghadapi nasib”
“Tetapi dia tetap anak pakcik….”
“Kau generasi merdeka. Kau tak perlu simpati. Dunia kau lain. Tidak perlu berjuang untuk dapatkan negara yang telah sedia aman dan makmur. Kemajuan BN sediakan. Kita tak sama Iskandar. Juga simpati yang kau tujukan, bukan untukku!”
Iskandar tersentak. Air mukanya berubah seraya berkata: “Bukan semua pemuda merdeka pakcik. Ramai lagi yang rasa mereka sezaman dengan pakcik. Mereka masih memuntut kemerdekaan bukan mengisi kemerdekaan. Kami belum merdeka….”
Aku waspada. Dari tadi anak muda ini bercerita kemajuan. Gilakah dia? Tiba-tiba berdebat generasinya belum merdeka. Aku lihat ke tangannya. Dia mengusap-usap parut di tangan kanan. Kira-kira parut itu masih muda dan jelas kelihatan.
“Jatuh motorkah?” tanyaku meredakan keadaan.
Iskandar menggeleng. “Bukan. 28 April pakcik. Bersih 3.0. Saya dikejar FRU. Terlanggar besi tajam. Koyak kulit, tapi selamat dari ditangkap. Kalau tidak saya tidak di sini. Sudah digantung universiti. Kami penerus generasi pakcik. Kami menyanjungi pakcik. Jangan risau, perjuangan pakcik tak sia-sia.”
Mataku terbuka luas. Lamanya aku tidak mengikuti perkembangan politik semasa. Ya, perhimpunan-perhimpunan besar itu. Semuanya adalah ulangan zamanku. Dan rakyat tidak lagi takut. Mereka merempuh BN demi menuntut kemerdekaan sebenar.
Tiba-tiba ketawaku tidak bisa ditahan-tahan. Aku ketawa kuat, puas, bebas. Anak muda ini, wajah seiras anakku. Dia tumbuh sebagai pejuang. Ya. Dia pejuang!
Dalam remang senja, aku tidak dapat menahan diri memeluknya. Dia pun turut tertawa. Ya Tuhan, Kau telah kembalikan puteraku yang hilang. Dan dia lebih baik dari anak kandungku! Dia seorang pejuang!.