Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan (pindaan) atau Hudud telah sempurna diluluskan sebulat suara di Dewan Undangan Negeri pada 19 Mac lalu.
Rang Undang-undang tersebut menerima tentangan daripada parti-parti bukan Islam seperti MCA, Gerakan, DAP dan parti-parti di Malaysia Timur. Alasan mereka adalah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seperti hak sama rata ke atas setiap rakyat dalam Perkara 8 yang menghalang seseorang warganegara dihukum mengikut kanun berdasarkan anutan agama.
PAS memerlukan majoriti mudah untuk mendapat kelulusan ke atas pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang mengehadkan kuasa mahkamah syariah kepada denda maksimum RM3,000, 5 tahun penjara dan 6 sebatan. Namun PAS memerlukan majoriti 2/3 jika ingin meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mewartakan Hudud sebagai salah satu cabang perundangan rasmi negara.
Sekiranya PAS mendapat cukup undi menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah maka sekurang-kurangnya ia boleh menguat kuasakan Hudud ke atas kesalahan berzina, qazaf dan meminum arak dengan hukuman rotan.
Masalah perlaksanaan
Bagaimanapun perlaksanaan Hudud menghadapi beberapa isu berbangkit. KEADILAN tidak menolak hukum Allah tetapi memperingatkan perlaksanaan hukum itu yang akan berdepan masalah kesaksamaan dan bertentangan Perlembagaan.
Hudud dalam Islam didatangkan dengan peringatan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda bersabda: “Wahai sekalian manusia, yang membinasakan orang-orang sebelum kalian adalah ketika orang-orang terpandang (berkuasa) mencuri maka mereka membiarkannya (tidak menghukum), sementara jika orang-orang yang rendah dari mereka mencuri, mereka menegakkan hukuman had. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, sungguh aku sendiri yang akan memotong tangannya” (hadis riwayat Muslim).
Hadis ini menjelaskan dengan mudah mengapakah pemimpin Umno menyokong Hudud di Kelantan. Iaitu mereka mungkin akan terlepas daripada penguatkuasaan hukum Islam itu kerana kanun itu tidak boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan Kelantan secara bersendirian.
Kerjasama pasukan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan semua agensi-agensi persekutuan diperlukan. Di Kelantan, sejak PAS mengambil alih kuasa pada 1990 berpuluh-puluh kali ahli parti itu membuat laporan polis berhubung penyelewengan dan penggelapan peruntukan oleh pemimpin Umno. Namun hasil siasatannya masih tidak diketahui sehingga ke hari ini.
Oleh kerana itu kebanyakan ulama meletakkan keutamaan Hudud ini kepada negara yang mampu melaksanakan hukum secara adil.
Negara hukum adalah perjuangan teras Ketua Umum KEADILAN, saudara Anwar Ibrahim sejak 1998. Negara hukum hanya akan tertegak selepas Putrajaya jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Hujah ini juga bersesuaian dengan hujah Dr. Maszlee Malik, Pensyarah Bahagian Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam satu forum pada 2011 lalu, iaitu tanpa good-governance, kepatuhan undang-undang yang baik, ia akan membawa fitnah yang buruk kepada hukum hudud itu sendiri.
Terdapat beberapa negara di dunia yang melaksanakan Hudud tetapi lemah dalam kaedah pembuktian jenayah. Di bahagian tertentu Pakistan misalnya, kelemahan pentafsiran antara jenayah rogol dan zina menyebabkan berlaku pelbagai kecelaruan pembuktian kes sehingga menganiaya golongan wanita.
Dalam konteks Kelantan, mampukah Qazaf dikenakan ke atas pemimpin Umno sekiranya menuduh Anwar Ibrahim melakukan liwat tanpa membawa empat saksi misalnya. Tuduhan seperti itu mungkin muncul pada ketika kempen pilihan raya akan datang. Untuk mengheret pemimpin Umno, polis dan agensi persekutuan lain diperlukan. Adakah agensi-agensi itu akan memberi kerjasama?
Begitu juga Hudud pernah digantung perlaksanaanya oleh kalifah Islam ketika negara dilanda bencana alam dan rakyat menderita. Hudud adalah hukuman ketika negara benar-benar selesa didiami. Dalam erti kata mudah rakyat tidak terlalu miskin sehingga terpaksa mencuri untuk mendapatkan makanan. Hudud juga sebenarnya ditujukan kepada orang kaya atau pemerintah yang cukup serba serbi tetapi menyamun harta rakyat.
Tidak berperlembagaan
Satu lagi isu, tanpa pindaan Perlembagaan Persekutuan, pesalah Hudud masih boleh mencabar keputusan Mahkamah Syariah di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Hudud terdedah kepada penolakan hakim mahkamah sivil yang mungkin mengisytiharkan kanun itu sebagai tidak berpelembagaan dan melepaskan pesalah.
Dapat difahami PAS mahu meluluskan Hudud bagi melepaskan tanggungjawab mereka terhadap tuntutan agama dalam memerintah. Namun pemimpin parti itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan menganggap Pakatan tidak penting.
Dalam sejarah tamadun Islam Hudud adalah undang-undang rasmi kerajaan kekalifahan. Namun empayar Umaiyah di Damsyik tumbang pada tahun 745 akibat kezaliman khalifah Marwan bin Muhammad.
Rakyat mencetuskan siri pemberontakan sehingga menggulingkan khalifah. Kemudian Abdullah Muhammad atau Abu Abbas diangkat sebagai khalifah baharu dan bermulalah era Bani Abbasiah yang berpusat di Baghdad.
Dalam erti kata mudah, pemerintah adalah penentu berjaya atau gagalnya perlaksanaan hukum Hudud dan penerintah akan disokong rakyat jika berjaya melaksanakannya secara adil.