Sebahagian ahli parlimen Pakatan Rakyat pada sesi 2013 – 2017 melangkaui dua penggal. Sebahagian yang lain baru satu pengggal.
Namun prestasi MP PR semakin merosot jika dilihat daripada kehadiran ketika Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) diluluskan. Mereka berhujah sekiranya kehadiran penuh sekali pun dan rang undang-undang itu terhalang, BN boleh meluluskannya pada sessi Mei dengan himpunan penuh anggota mereka.
Hujah tersebut ada benar dan ada salah. Betul untuk mengatakan BN boleh memanggil sesi lain. Perbezaan jumlah MP terlalu besar. BN 133 dan PR hanya 86. Semua itu salah rakyat dalam PRU lalu. Sepatutnya perbezaan antara BN dan PR tidak lebih 15 kerusi. Maka korum penuh BN, pastinya lebih 15 MP tidak hadir dan PR mampu menggagalkan mereka.
Namun hujah satu lagi pihak, ketika meluluskan POTA pada jam 2.25 pagi ahli parlimen BN hanya 79 dan sekiranya PR mempunyai 80 MP maka pertama kali BN akan dimalukan kerana gagal meluluskan akta. Sekali sahaja dan rakyat akan teruja untuk mengundi lebih banyak MP PR ke parlimen dalam pilihan raya depan.
Bagaimanapun, bukan semua MP PR yang hadir ke Parlimen berbahas. Ada yang tidak mengetahui hala tuju di Parlimen. Ada juga yang meninggalkan sidang apabila rang undang-undang yang tidak mengenai kepentingan kelompok mereka dibentang.
Puak unity government (UG) PAS misalnya tidak mahu masuk sidang berkaitan POTA kerana hal itu tidak menyentuh perkara-perkara yang islamik. POTA bagi mereka adalah perjuangan DAP dan PKR. Mereka menganggap tangkapan tanpa bicara tidak mencemar Islam dan boleh dilakukan pemerintah ke atas sesiapa yang menggugat keamanan negara.
Akibatnya MP UG kalau hadir di Parlimen pun pada sesi yang tidak menyentuh kepentingan puak mereka akan menghabiskan waktu dengan melakukan ‘kerja-kerja lain’. Bertemu rakan, sahabat, penyokong dan malah terdapat seorang ahli parlimen PAS yang dirakam mundar-mandir menyaksikan murid-murid sekolah rendah melawat bangunan Dewan Rakyat di luar dewan!
Ahli parlimen tersebut tidak faham tugasnya di parlimen. Meskipun tidak menyetujui perbahasan tetapi beliau perlu duduk di tempatnya dan tidak boleh merayau-rayau sehingga menimbulkan syak dalam kalangan pemerhati bahawa MP PR tidak mempunyai kerja tertentu pada hari tersebut dan hanya mengambil elaun kedatangan sahaja.
Hal inilah yang menyebabkan pandangan rakyat ke atas PR semakin hambar. Dan tentunya pandangan ke atas puak UG PAS lebih hambar. Apatah lagi tersebar dakwaan puak UG telah melakukan deal dengan BN dalam hal-hal tertentu pentadbiran negara.
Untuk menolak semua dakwaan itu MP PR perlulah perform. Menjalankan tanggungjawab sebagai ahli parlimen dan berbahas biar pun dihalang oleh peraturan dewan. Rakyat lebih suka mendengar MP PR digantung dewan kerana ingin mencelah berdebat daripada berdiam diri.
Malaysia bukan negara bertamadun yang mana rakyat lebih mengharmati MP yang berhujah. Sebaliknya mereka memandang hero MP yang berkelahi di dewan demi rakyat. Hanya dengan cara itu MP akan diundi semula dan dipuji.