Tinjauan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) (FOMCA) mendedahkan perlaksanaan Cukai Barangan dan perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan, 20 hingga 30 peratus.
Mengulas senario itu, Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN G Manivannan berkata, kenaikan tersebut memperlihatkan kelemahan dan kelalaian kerajaan BN dalam menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Percatutan 2011 serta hilang kawalan terhadap sistem GST itu sendiri.
“Sebelum GST dilaksana, kita sudah tegaskan bahawa harga barang akan naik mendadak dan sekarang ia menjadi realiti, kerajaan dan Najib penipu besar. Kini, semua barang dikenakan cukai tersebut, tidak ada satu pun yang dikecualikan.
“Contohnya barang A, barang B dan C berharga RM10, namun barang A dan B dikenakan GST dan C dikecualikan GST. Tetapi apabila rakyat semak dalam resit, kesemua barang tersebut dikenakan GST termasuk yang sifar cukai. Rakyat ditipu bulat-bulat oleh kerajaan,” katanya .
Baru-baru ini, Fomca melalui tinjauan pemantauan tanda harga, kedudukan harga dan resit pembayaran di sebuah pusat membeli-belah di Kelana Jaya mendapati harga naik melebihi kadar 6 peratus GST. Operasi itu membandingkan harga pasaran dengan senarai dalam Buku Panduan Harga Pengguna yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Sehubungan itu, Manivannan mengecam kerajaan BN kerana terburu-buruk melaksanakan GST sehingga menyebabkan rakyat mangsa.
“Kerajaan sebenarnya tak faham isu GST. Kalau kita lihat Ahmad Maslan dan Hasan Malek jawab isu ini nampak seperti budak-budak. Mereka tak tahu apa itu GST. Rakyat tak boleh berharap lagi dengan kerajaan yang hanya tahu menyusahkan kehidupan mereka,” ujarnya.