Selepas dua tahun bergiat aktif, PSM cawangan Tanjung Malim dilancarkan secara rasmi pada 10 April lalu. Pelancaran itu dihadiri oleh pemimpin tertinggi PSM seperti Dr. Nasir Hashim, S Arutchelvan dan turut disertai oleh ramai pemimpin masyarakat setempat.
Bendahari PSM, A.Sivarajan dalam ucapannya berkata PSM kini membawa cara baru berpolitik di Malaysia, sementara Dr Jeyakumar, ahli parlimen Sungai Siput menjelaskan perjuangan PSM semakin relevan kerana membawakan isu sebenar yang dideritai masyarakat.
“PSM penting kerana ia membawa isu sebenar yang dihadapi rakyat biasa dari hal inflasi sehinggalah kenaikan gaji yang terhad,” katanya.
Ketua Pakatan Rakyat Tanjung Malim Mejar (B) Kamal Badri merakamkan tahniah di atas pelancaran cawangan PSM itu. Katanya, politik kiri tidaklah asing bagi penduduk Tanjung Malim kerana ramai ahli politik kiri seperti Ahmad Boestamam lahir di kawasan itu.
Pada majlis itu, Presiden PSM telah melancarkan pusat khidmat PSM bagi kawasan tersebut yang akan mewakili kaum pekerja setempat. Katanya, PSM bukanlah parti yang berorientasikan pilihanraya tetapi berjuang secara jangka panjang untuk mewujudkan Malaysia yang lebih baik.