Sehari sebelum pembuangan undi bagi seluruh Sarawak, parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) kelihatan hilang arah dalam mengendalikan kempen di kawasan-kawasan bandar. Dengan ceramah-ceramah DAP dan PKR terus mendapat sokongan hebat manakala tinjauan pemerhati bebas pilihanraya mendapati sehinga 70 peratus undi Cina telah beralih kepada Pakatan Rakyat, BN mula mengubah strategi memberi lebih tumpuan ke luar bandar.
Ahli parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye mengesahkan tamparan hebat yang diterima BN ketika ini. Bekas Naib Presiden PKR itu berpendapat hampir kesemua kawasan di bandar besar seperti Kuching, Miri dan Sibu tidak lagi mampu dipertahankan BN. Kempen BN sebaliknya beralih ke arah luar bandar yang pengundinya kurang capaian maklumat.
“BN akan kalah teruk di kawasan bandar. Tetapi di kawasan sub bandar juga mereka sedang menerima saingan sengit dari Pakatan Rakyat. Banyak isu yang mengganggu rakyat Sarawak seperti kitab Injil bahasa Melayu, isu rasuah Taib Mahmud dan Taib enggan berundur meskipun Najib telah memberikan arahan.
“Semua ini memberi kelebihan kepada PR. Buktinya di kawasan pendalaman, di rumah panjang kita mendapat sambutan meriah. Kita percaya sokongan kaum Iban sebahagiannya telah beralih kepada PR. BN gentar dengan situasi ini dan menurunkan pasukan kempen sokongan dari Semenanjung.
“Dalam pilihanraya ini juga buat pertama kalinya BN Sarawak tidak mengetuai jentera kempen sebaliknya kempen diketuai sendiri oleh Najib. Jelas mereka sedang tertekan,” kata Dr Lee yang berkampung di Sarawak sepanjang tempoh berkempen.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan PR akan menang sejumlah besar kerusi, lebih daripada jangkaan awal sebanyak 15 kerusi. PR mungkin boleh mengalahkan BN di 20 kerusi dan mendapat bonus beberapa kerusi lagi untuk menafikan majoriti 2/3 BN yang dinikmati mereka selama 30 tahun.
“Sekiranya BN menang kali ini, kemenangan mereka agak tipis, hanya simple majoriti. Namun kita juga tidak menolak pertukaran kerajaan selepas 16 April.
“Cuma kita masih ada satu dua hari yang kritikal. BN telah mengunakan agensi kerajaan untuk berkempen di rumah panjang. KEMAS telah digunakan juga beberapa yang lain. Dari satu segi kempen agreasif mereka mungkin meraih undi tetapi dari segi lain boleh juga memakan diri sendiri kerana jentera kerajaan pusat ini berkempen secara ugutan dan intimidasi untuk mendapatkan undi penduduk kepada BN. Mereka menimbulkan suasana tidak selesa kepada penghuni rumah panjang,” akui Dr Lee
Raja Petra salah ‘timing’
Beberapa penganalisis politik mempersoalkan kenyataan Raja Petra Kamarudin dalam slot Buletin Utama TV3 yang disiarkan di ambang detik pengundian. Bagi mereka kebangkitan di Sarawak tidak mampu dihalang oleh pendedahan Raja Petra, sebaliknya hanya akan menyusahkan kerabat di raja Selangor itu pada masa hadapan dalam menghadapi penilaian umum masyarakat .
“Kritikan Raja Petra tidak akan mengubah keadaan. Sebaliknya akan merosakkan imejnya di kalangan penyokong Pakatan Rakyat dan mencampakkan MCLM yang dipimpinnya ke dalam persepsi ‘satu lagi alat propaganda BN’ menjelang PRU 13.
“Raja Petra jauh di London, keadaan kebangkitan di Sarawak dilihat menyeluruh. Kesedaran rakyat untuk berubah, tekad serta semangat untuk menolak Taib sangat tinggi. Video seks yang dihebah dalam media massa bagi memalukan Anwar pun tidak dipedulikan, apatah lagi Raja Petra yang hanya dikenali oleh segelintir penyokong Reformasi.
“Situasi sekarang seperti di Mesir tidak ada siapa peduli parti mana, pemimpin mana, asalkan Mubarak disingkir. Di sini, asalkan Taib tidak lagi memerintah,” katanya yang enggan disiarkan identiti.
Lebih hebat dari 2008
Naib Presiden PKR Tian Chua ketika dihubungi menyatakan situasi di Sarawak terutama di bandar-bandar besar sejak bermula kempen langsung tidak menyelebelahi BN. Malah, kemaraan besar-besaran PR menurutnya juga gagal disekat oleh jentera kerajaan yang membantu BN. Beliau membandingkan situasi di Sarawak seperti pra-pilihanraya umum 2008.
“Kebangkitan di seluruh kawasan. Bandar besar, pekan dan luar bandar. Suasana seperti sebelum pilihanraya 2008. Malah di sesetengah kawasan (kejiranan kaum Cina) kebangkitan lebih hebat dari 2008.
“Ceramah dipenuhi penduduk setempat dan tekad mereka untuk berubah begitu kuat. Saya ramal kita mungkin mampu mengambil alih Sarawak selepas pilihanraya ini,” katanya.
Taktik saat akhir BN
Biarpun diramal oleh banyak pemerhati BN akan mendapat 28 kerusi, PR 20 dan 51 kerusi selebihnya 50-50 yang boleh memihak kepada PR namun gabungan itu tidak boleh terlalu selesa dengan kebangkitan yang diperlihatkan.
Sehingga kini, kaum terbesar Iban telah menunjukkan perubahan drastik. Pertubuhan penyelidik arus politik, Zentrum Future Studies memberikan angka sokongan Iban kepada BN sebelumnya pada tahap lebih 70 peratus kini hanya 61 peratus dan semakin menurun. Hanya kaum Melayu-Melanau yang kekal mempertahankan BN.
Bagaimanapun taktik akhir BN biasanya memalukan pembangkang yang bercita-cita tinggi. Di Malaysia Timur wang yang ditabur secara terang-terangan sehari sebelum mengundi atau pada pagi hari mengundi tidak dianggap suatu kesalahan malah dianggap tradisi. Sebagaimana pilihanraya kecil Batu Sapi di Sabah tahun lalu, wang tunai diberi melalui pejabat parti komponen BN tanpa rasa segan silu.
Di rumah panjang jamuan tuak dan arak berserta wang tunai diberi sehari sebelum mengundi. Jamuan itu telah menjadi kebiasaan dalam setiap pilihan raya di mana ketidak-puasan hati kaum pribumi dijamu dengan ‘pampasan’ kegembiraan sebelum membuang undi. Taktik ini telah mengecewakan pembangkang dalam 9 siri pilihanraya lalu. Tidak pasti apakah penduduk pribumi akan terpedaya lagi dengan taktik serupa dalam pilihan raya kali ini
Selain itu, banyak kaum pribumi yang berpura-pura menyokong pembangkang semata-mata untuk mendapat layanan lebih istimewa dan pujukan dari pemerintah menjelang pilihanraya. Biasanya pembangkang tertipu dengan lakonan seperti itu dan menjangkakan mereka telah mendapat sokongan padu. Taktik ini juga dibuktikan di Batu Sapi yang mana ceramah PR dihadiri oleh sekian ramai pendengar tetapi gabungan itu kalah teruk di peti undi.
Walau apa pun, fakta yang pasti kawasan Cina telah pun terlepas dari genggaman BN-SUPP sejak minggu pertama berkempen. Manakala secara realistiknya PR tidak meletakkan sasaran memerintah negeri pada PRN kali ini tetapi hanya menang sehingga sekali ganda kerusi dari PRN 2006 (7 kerusi ketika itu). Sekiranya itu berlaku, ia sudah cukup untuk menyuntik semangat kepada aktivis PR bagi melakukan serangan besar-besaran ke atas BN di Semenanjung menjelang PRU akan datang.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.