Kemenangan 12 kerusi DAP, 3 PKR dan 1 Bebas sudah cukup merumitkan masa depan dan pola sokongan ke atas Barisan Nasional di Semenanjung yang dikatakan telah mendapat semula sokongan rakyat lewat pilihan raya kecil Galas, Kerdau dan Merlimau beberapa bulan lalu.
Ternyata di kawasan yang sukar perhubungan dan kurang capaian maklumat sepertri Sarawak pun Pakatan Rakyat mampu membuat kejutan serta menambah sekali ganda bilangan kerusi DUN dari 8 pada pilihanraya negeri 2006 kepada 16 pada pilihanraya 16 April 2011.
Kebangkitan bukan sahaja berlaku di kalangan kaum Cina di bandar malah melibatkan kaum Iban di sub bandar dan luar bandar. Bagi Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, ketidakpuasan hati terhadap Barisan Nasional menyebar luas ke seluruh Sarawak tanpa mengira kaum. Faktor itulah yang meningkatkan sokongan ke atas DAP dan PR.
“Bukan sahaja kaum Cina, kaum Iban juga banyak menyokong pembangkang. Ini menunjukkan langkah dan tindakan yang diambil oleh pentadbiran BN yang memerintah Sarawak telah menimbulkan perasaan tidak puas hati yang amat sangat di kalangan rakyat.
“Keputusan ini juga menunjukkan rakyat Malaysia tidak mahukan politik berasaskan sentimen perkauman dan agama. Mereka tidak mahu ahi politik menggunakan faktor kaum atau agama menjejaskan perpaduan masyarakat. Dalam politik kita perlu ikhtiarkan agar menjauhi sentimen kaum dan agama, sama ada di Sarawak atau di seluruh Malaysia,” katanya.
Mengenai kempen BN yang masih menggunakan hujah Pakatan Rakyat adalah parti dari Semenanjung Dr Tan membidasnya, beliau menganggap 1 Malaysia hanyalah retorik yang tidak dipraktikkan oleh parti komponen BN sendiri.
“Mengapa 1Malaysia. Seolah-olah kita (sebelum ini) ada 5 Malaysia. Kita memang ada satu sahaja Malaysia. Mengapa perlu disebut hal itu berulang kali (dalam kempen).
“Tetapi sama ada di Sarawak atau di mana-mana pun, perkara pokok, ahli politik perlulah tunjukkan khidmat yang terbaik untuk rakyat, berkorban untuk rakyat. Jangan gunakan kedudukan ahli parlimen, ADUN atau menteri untuk mengkayakan diri sendiri.
“Sebagai Menteri dia seperti CEO syarikat. Jika tidak diberi gaji yang secukupnya perkhidmatan tidak sebegitu baik tetapi setelah diberi gaji yang sepadan mereka perlulah menunjukkan khidmat yang cemerlang. Sekiranya menyeleweng mereka tidak boleh dimaafkan. Perlu didakwa, dipenjarakan dan hartanya dikembalikan kepada rakyat,” ujar Dr Tan.
Kebangkitan rakyat Sarawak mencatatkan jumlah undi popular yang banyak kepada Pakatan Rakyat. Iaitu sehingga 45 peratus. Hal ini merupakan isyarat penolakan yang besar biar pun jumlah kerusi yang dimenangi PR relatifnya kecil. Bendahari Agung PKR William Leong Jee Keen menganggap situasi di Sarawak pastinya akan memberi kelebihan kepada PR dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13 kelak.
“Pertambahan kerusi PR di Sarawak menunjukkan kita di landasan yang betul. Biar pun BN menggunakan segala jentera kerajaan, Malaysiakini digodam, Sarawak Report digodam, NGO seperti Mafrel tidak dibenar masuk, bagaimana hendak pastikan pilihanraya berjalan telus tanpa pemerhati bebas pilihan raya seperti Mafrel, tetapi setelah BN lakukan semua itu PR tetap boleh mencatat keputusan yang baik.
“PR mendapat 47 ke 48 peratus undi popular. Satu jumlah sokongan yang banyak. Pilihanraya ini juga memberi tamparan kepada SNAP kerana ditolak oleh rakyat Sarawak. SNAP kalah teruk. Riwayat SNAP telah berakhir.
“Sebaliknya kebangkitan di Sarawak memberi kelebihan semangat kepada PR menghadapi pilihanraya umum akan datang dalam usaha untuk menguasai beberapa buah negeri lagi,” jelasnya.
William turut menganggap politik berasaskan kaum dan Pakatan parti Semenanjung telah tidak lagi diterima rakyat Sarawak dengan kemenangan besar DAP serta kemenangan PKR di beberapa kawasan.
“Rakyat Sarawak sama seperti rakyat Malaysia lain mahukan sistem dua parti. SNAP parti tempatan tidak menang satu kerusi pun, sebaliknya rakyat memberikan kemenangan kepada parti-parti dalam Pakatan. Isu parti dari Semenanjung tidak lagi diterima,” tegasnya.
Ditanya mengenai pilihan raya umum yang mungkin diadakan pada Julai ini berdasarkan keputusan pilihanraya negeri Sarawak William tidak menolak kemungkinan parlimen dibubarkan beberapa bulan lagi.
“BN telah menang di Sarawak. Ada kemungkinan mereka akan memanggil pilihan raya umum dengan segera,” katanya.
Bagi kebanyakan pemerhati politik, BN mempunyai kelebihan sekiranya mengadakan pilihanraya umum ke 13 tiga bulan selepas PRN Sarawak. Sekurang-kurangnya mereka mampu membendung kemaraan Pakatan Rakyat yang akan menggunakan isu pertambahan sekali ganda kerusi di Sarawak sebagai tanda rakyat semakin menolak pentadbiran BN yang bergelumang dengan rasuah dan penyelewengan.
Pada pilihanraya 2006, BN dikejutkan oleh kemenangan 6 kerusi DAP dan 1 PKR. Gegaran kecil di Sarawak dibiarkan berlarutan sehingga 2008 dan akhirnya bergelombang menjadi tsunami politik di Semenanjung. Dengan pertambahan sekali ganda kerusi DAP kepada 12 dan pertambahan tiga kali ganda kerusi PKR kepada 3 bermakna tsunami politik yang akan melanda semenanjung pasti akan lebih besar.
Tentunya BN sedaya upaya cuba mengelak kemungkinan tersebut.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.