Komen pembaca
Malam 15 April menjelang hari mengundi di Sarawak, Buletin Utama TV3 telah menyiarkan temubual dengan seorang yang tidak diketahui asal-usulnya serta tidak pernah kelihatan di kaca t.v. Orang itu berkata kononnya penyokong pembangkang akan mendakwa lelaki yang ditemuramah oleh TV3 yang disiarkan pada 13 dan 14 April sebagai bukan Raja Petra kerana perutnya lebih buncit. Samalah seperti video seks yang membabitkan Anwar, perut pelakon filem tersebut dikatakan buncit.
Persoalannya, pernahkah penyokong Anwar atau Pakatan Rakyat mempertikaikan klip temubual dengan Raja Petra? Jawabannya tidak pernah. Sebab ia adalah klip yang sempurna. Jelas kelihatan muka Raja Petra dan mikrofon berlogo TV3 di hadapannya semasa sesi temuramah. Tentang kritikan Raja Petra beliau berhak untuk berkata apa sahaja. Lagi pun Raja Petra tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.
Tetapi mengapa penyokong Anwar dan sebahagian besar rakyat Malaysia tidak percaya dengan video yang memfitnah Anwar? Perkara itu terjawab dengan mudah melalui klip temubual Raja Petra. Mengapa klip tersebut disiarkan dalam warna, kerana memang itulah standard penyiaran. Gambar hitam putih hanya untuk kegunaan CCTV.
Perkara yang menjadi persoalan rakyat, apakah sebabnya video seks Anwar dirakam dalam hitam putih? Bukankah format asal kamera video dalam warna? Sewaktu menjelaskan bagaimana video itu ditemui, Datuk Eskay berkata beliau disuruh Anwar mengambil jam tangan Omega di bilik yang didiami Anwar. Ketika mencari Eskay terjumpa pula sebuah kamera video.
Logik akal seseorang yang diarah mencari jam tangan hanya mempunyai masa yang terhad. Apabila dia terjumpa kamera sudah tentulah kamera itu tidak diselindung oleh objek lain dan terletak di tempat terbuka. Bukannya CCTV (seperti mana rakaman ke atas Chua Soi Lek) yang diletak di siling atau kamera intipan yang disambung dengan kabel lain ke alat perakam dan diletak di tempat tersembunyi.
Dengan itu jelas sekali pelaku seks tersebut ingin merakam aksinya bersama seorang perempuan untuk ditonton di kemudian hari. Tetapi mengapa merakam dalam hitam putih? Tidak ada orang yang membuat rakaman sendiri merakam dalam format hitam putih. Selain gambarnya tidak menarik, kamera perlu diadjust setingnya (terlebih dahulu) sebelum rakaman dibuat.
Jika dirakam dalam warna seperti klip Raja Petra tidak mungkin (video itu) boleh dipertikaikan, tetapi semua orang boleh memiliki teori masing-masing jika rakaman dalam hitam putih. Misalnya jumlah uban pada rambut watak Anwar tidak jelas kelihatan untuk dibandingkan dengan wajah sebenar pemimpin itu. Begitu juga warna kulit, mungkin putih cerah atau sawo matang, mana satu?
Satu lagi kemungkinan yang bermain di fikiran mungkinkah pelakon itu memakai topeng muka latex. Gambar warna akan mudah membezakan keadaan kulit sebenar dan topeng latex. Kulit sebenar akan lebih berkilat setelah melakukan aksi kerana mengeluarkan peluh tetapi bukan kulit tiruan.
Itulah jawapan mudah kenapa tiada penyokong Anwar sangsi Raja Petra muncul di TV3 tetapi sebahagian besar rakyat Malaysia sangsi manusia yang dikatakan melakukan adengan seks dalam video yang diuar-uarkan itu adalah Anwar.
Maka atas sebab itulah dalam Islam pertuduhan zina yang melibatkan maruah manusia mesti didatangkan bersama 4 saksi yang adil. Sekiranya tidak, kes tersebut akan tertolak. Mahkamah sivil boleh menjatuhkan hukuman bersalah kepada Anwar seperti dalam kes liwat I namun berapa kerat rakyat Malaysia yang percaya?.
Sebab itulah ketika al Quran diturunkan 1,400 tahun dahulu disebutkan dengan jelas bagaimana cara untuk membuktikan kes tuduhan berzina atau liwat. Allah tahu suatu masa nanti manusia akan menipu untuk memusnahkan maruah orang lain dengan cara yang sangat canggih. Tetapi cara pembuktian dalam Islam tidak mampu untuk ditandingi atau dikelirukan oleh penipu paling pintar sekali pun. Maka hukum Islam adalah yang paling sempurna dan mampu menyelamatkan manusia dari jurang kebinasaan, perpecahan dan fitnah.
Penyokong kebenaran