SHAH ALAM 18 JAN: Kerajaan Negeri Selangor hari ini menyampaikan bantuan kewangan dan penyerahan rumah kepada penduduk Semenyih.
Bantuan ini diserahkan Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar menerusi majlis Penyerahan Rumah Prihatin dan Penyampaian Sumbangan Bencana di sini.
Dalam ucapannya Dr Xavier berkata, kerajaan negeri komited melaksanakan tugas dalam menjayakan program merakyatkan ekonomi Selangor dan pemberian bantuan bencana termasuk penyerahan rumah prihatin adalah satu bukti kerajaan Pakatan Rakyat prihatin dan mengotakan janji.
“Untuk Tahun 2010 sahaja, seramai 15 orang telah menerima bantuan melalui baik pulih rumah mahupun bina baru di mana baik pulih rumah seramai lapan orang di dalam daerah dan bina baru seramai tujuh orang,” katanya yang juga ADUN Angkat kawasan Semenyih.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri memperuntukan sekurang-kurangnya RM30,000 bagi sebuah rumah untuk bina baru dan RM 20,000 untuk baik pulih rumah rakyat.
Selain itu, Dr Xavier menjelaskan kerajaan negeri juga memastikan pembinaan rumah tersebut sekurang-kurangnya mempunyai 3 bilik memandangkan kepada tahap keperluan dan keselesaan rakyat.
“Bina baru ini ialah rumah 3 bilik dan 2 bilik, kita telah berhentikan pembinaan rumah satu bilik kerana ia tidak lagi sesuai buat masa kini,” jelasnya.
Majlis yang berlangsung di Kampung Batu Minangkabau tengahari tadi menyaksikan seramai 200 penduduk hadir.
Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Langat,Che Rosli Che Mat, Jawatankuasa Penyelaras DUN Hulu Langat,Lee Kai Ming, Wakil Pejabat Daerah Hulu Langat, Faezah Omar dan ketua Kampung Batu Minangkabau, Waris Ahmad.
Terdahulu, oktober 2010 menyaksikan 3 buah kampung di Semenyih, ditimpa musibah dan kerosakan harta benda akibat banjir kilat dan ribut petir.
Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan sejumlah RM21,000 iaitu RM300 seorang kepada 69 keluarga, dari 3 kampung yang terlibat dalam bencana alam tersebut.
Kampung yang terlibat ialah Kg Batu Minangkabau, Kg Sesapan Batu Rembau dan Kg Indah PKNS Beranang.
Dalam pada itu, penerima rumah prihatin Samsian Makmun melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana baginya rumah baru yang ini jauh lebih selesa dari rumah asal serta memudahkan aktiviti harian ekoran ibunya kini semakin uzur.
“Kakak rasa begitu terharu, dan berterima kasih kepada kerajaan negeri ini, dapatlah saya berteduh dari hujan dan panas,” katanya kepada Tv Selangor.
Selain itu, penerima bantuan bencana pula melahirkan rasa terharu dan berbangga dengan pentadbiran Pakatan Rakyat yang kini lebih prihatin berbanding pentadbiran terdahulu dalam menjaga nasib rakyat.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat ini kerana prihatin kepada masalah penduduk.
“Memang berbeza jika dibandingkan dengan pemerintahan dahulu,saya penduduk kampung ini nampak jelas jika ada bantuan hanya disampaikan kepada kroni-kroni sahaja, tetapi kini pemberian bantuan diberi tidak kira bangsa dan kefahaman politik, yang mana layak dapat, diberi bantuan,” kata Azhar Rahman. (TVS)