“Adalah mencurigakan apabila Umno menukar kempen strategi pilihan raya pada saat-saat akhir sebelum proses pengundian dijalankan,” kata Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli.
Beliau berkata, parti itu kini tidak lagi mengadakan sesi ceramah pada waktu malam sebagaimana kempen-kempen yang dijalankan oleh parti-parti bertanding dalam pilihanraya sebelum ini.
Berdasarkan laporan lapangan yang diperolehinya, kata Rafizi, setiap malam selepas jam 10, jentera parti itu akan melawat rumah-rumah di kawasan Permatang Pauh sebagai strategi terbaru mereka memancing undi penduduk tempatan.
“Sejak beberapa hari yang lepas, kita telah mendapat maklumat dari lapangan setiap hari, Umno telah mengurangkan aktiviti ceramah dan aktiviti kempen biasa dengan rakyat, sebaliknya mereka menumpukan kepada melawat rumah pada waktu malam selepas jam 10 malam.
“Lawatan rumah ke rumah secara senyap pada waktu lewat seperti itu menimbulkan persoalan dan prasangka, apakah lawatan ini digunakan untuk memberi wang, menyogok, merasuah dan juga menawarkan imbuhan sebagai ganti kepada undi pada khamis ini,” kata Rafizi ketika mengadakan sidang media di Yayasan Aman.
Bimbang dengan perkara itu, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya SPR sewajarnya memantau perkara ini secara serius bagi mengelakkan sebarang penipuan dalam pilihanraya kecil kali ini.
“Perkara ini sepatutnya dipantau secara dekat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, kerana kita jelas Umno kini semakin terdesak lebih-lebih lagi sekarang telah masuk minggu-minggu akhir tempoh berkempen,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin pula tidak menolak sebagai langkah terdesak Umno, mereka sekali lagi akan menggunakan taktik kotor menggunakan pengundi hantu untuk memenangkan calon mereka.
“Ini menimbulkan kerisauan kerana kita bimbang sekiranya Umno menggunakan taktik pengundi hantu sepertinyang pernah mereka buat dalam PRU sebelum ini,” katanya dalam sidang media sama.