Kejayaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin tidak dinafikan memberi makna besar kepada PAS yang menghadapi perpecahan dalaman serius.
Sejak detik awal penamaan calon PAS menghadapi masalah. Calon parti itu Nazri Ahmad didakwa dipilih oleh puak ulama, walaupun profesional dianggap lebih sesuai bertanding di Rompin. Calon itu sebagai isyarat ulama akan menguasai parti secara total selepas Muktamar Pemilihan Jun depan.
Ketika waktu berkempen, PAS menumpukan sepenuh perhatian di Rompin. Kebanyakan pemimpin pro ulama tidak menolong PKR di Permatang Pauh. Malah Hadi Awang sekali pun tidak turun untuk berceramah di sana.
Amat jelas PAS terbahagi kepada dua puak. Puak profesional yang dikepalai Muhammad Sabu berkempen bersama Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli, Dr Dzulkifly dan lain-lain di Pulau Pinang, sementara Dewan Ulama PAS bertumpu di Pahang.
PAS bersendirian
Pemimpin tinggi DAP tidak memberikan kerjasama dan langsung tidak menjenguk ke Rompin setelah jawatankuasa pusat parti itu memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Hadi Awang kira-kira dua bulan lalu. Jentera PKR juga kurang di Rompin.
Jentera PKR dan DAP hanya kelihatan di peringkat cawangan dan bahagian sahaja. PAS diibaratkan keseorangan menghadapi PRK Rompin. Mereka memainkan isu Hudud dan merayu agar pengundi memilih seorang wakil parlimen yang akan memberi undi ‘Ya’ kepada Rang Undang-undang Hudud yang bakal dibentang dalam sesi Dewan Rakyat, Mei ini.
Dengan segala kekurangan itu, apabila calon PAS Nazri mampu menafikan majoriti besar BN dalam PRU 13 lalu sebanyak 41 peratus atau 6,219 undi, maka PAS tentunya akan menganggap sokongan itu sebagai isyarat penerimaan pengundi Pahang kepada perjuangan Islam. PAS tidak dapat dipisahkan daripada kaedah mempropagandakan kemenangan pilihan raya dengan kebangkitan Islam dan keinginan rakyat Malaysia kepada Hudud.
Kejayaan merampas Terengganu dalam PRU 10 pada 1999 dahulu misalnya dikaitkan kepada faktor keinginan rakyat negeri itu kepada politik Islam. Namun apabila PAS kalah teruk dan BN menang 2/3 kerusi DUN pada PRU 2004 tidak pula ia dianggap kekalahan Islam dan penolakan rakyat ke atas Hudud.
TKO profesional
Justeru, kejayaan kali ini di Rompin pastinya akan menaikan moral puak ulama dalam PAS untuk memberi pukulan maut (TKO) kepada puak profesional dalam Muktamar Pemilihan Jun depan. Puak ulama akan berhujah tiada gunanya bersama PR sedangkan secara bersendirian pun PAS mampu mengurangkan separuh majoriti di kubu kuat BN.
Dalam congakan mudah, jika kubu kuat BN boleh digoyahkan, pastinya kawasan yang mana PAS kalah tipis akan disapu bersih oleh parti itu pada PRU 14. Ulama Pahang yang anti PR seperti Mokhtar Senik mungkin tidak akan segan silu mengutarakan cadangan agar PAS membataskan kerjasama dalam PR. Nasrudin Tantawi dan beberapa lagi ulama di negeri itu akan mencongak kawasan mana yang bakal tumbang berdasarkan mood kebangkitan politik Islam.
PAS akan kembali lalai seperti situasi selepas PRU 1999. Tidak tahu apakah isu sebenar yang menyebabkan rakyat menyokong mereka. Di Terengganu sokongan besar rakyat kepada Barisan Alternatif ketika itu adalah kerana bosan dengan pentadbiran MB Wan Mokhtar Ahmad yang tidak membawa kemajuan. Arus yang ditumpang PAS pula adalah kebencian orang Melayu ke atas fitnah liwat rejim Mahathir yang ditimpa ke atas Anwar Ibrahim.
Apabila PAS mengambil alih (hijack) arus ‘reformasi’ maka mereka menekankan kepada politik Islam. Dua tahun kemudian Hudud diluluskan di DUN Terengganu. Pada 2003, MB Hadi Awang mengisytiharkan Negara Islam dan ideologi itu dijadikan bahan kempen mempertahankan kerajaan Terengganu.
Sedangkan rakyat biasa tidak melihat perubahan material dan spiritual secara total yang dibawa PAS. BN menjelang PRU memperkenalkan agenda Gelombang Biru dan menjanjikan 25,000 peluang pekerjaan serta kemajuan yang tidak pernah dilihat oleh rakyat, sebagaimana ikrar bakal MB Idris Jusoh. Akhirnya PAS kalah teruk dalam PRU 2004.
Swing undi Umno
Seharusnya PAS berhati-hati selepas PRK ini. Isu sebenar di Rompin bukan berkaitan Hudud. Tidak banyak pengundi di Rompin yang menyokong PAS semata-mata ingin Hudud ditegakkan. Swing undi yang besar kepada PAS adalah di kubu BN. Secara jelas isu kedua iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan ketiga, kejatuhan saham serta keuntungan Felda telah menjadi senjata maut melumpuhkan parti cauvinis Melayu itu.
Hal ini dibuktikan di JDM Pulau Tioman, misalnya , apabila undi kepada PAS meningkat 224 undi berbanding 169 pada PRU lalu. BN ketika itu mendapat 690 undi, tetapi kali ini merosot kepada 480 undi sahaja.
Penduduk Rompin walaupun masyarakat luar bandar terkesan akibat kenaikan harga barang dan mereka mengundi protes. Begitu juga kalangan generasi muda Felda yang memprotes kerakusan BN menjahanamkan agensi pertanian nombor satu negara itu.
Dua isu ini perlu diutamakan PAS jika mahu mendapat kejayaan yang lebih besar di Pahang. Umno BN dalam beberapa tahun akan datang pastinya akan mencairkan kemarahan rakyat dalam hal GST dengan menaikkan pemberian BR1M kepada RM1500 atau lebih. Peneroka Felda akan diberi insentif khas dan peningkatan bantuan menjelang PRU 14 kelak.
Satu lagi, penyokong Umno berani mengundi protes dalam PRK kerana mereka tahu kekalahan BN tidak akan membawa pertukaran kerajaan. Hal ini pernah berlaku dalam PRK Arau di Perlis pada 1998 yang mana PAS menang kerusi parlimen itu.
Namun dalam PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013 BN tetap menguasai kerusi Arau.Jadi sekiranya PAS mendahulukan isu kebangkitan Islam dalam post mortem kejayaan di Rompin maka mereka akan dipukul TKO dalam PRU 14 nanti, bukan sahaja di Pahang malah di seluruh negara.
PAS campur BN?
Juga jangan ditinggalkan sumbangan Presiden PKR Dr Wan Azizah yang mengeluarkan arahan agar penyokong PKR mengundi PAS sehari sebelum hari mengundi. PKR tidak memboikot PAS di Rompin sebagaimana ahli PAS dan sebahagian ulama parti itu di Permatang Pauh.
PRK Rompin sebenarnya hanyalah umpan kepada ulama PAS agar jangan mengulangi kesilapan di Terengganu. Ulama harus belajar isu sebenar dan keresahan rakyat di negara ini.
Namun jika mereka tidak mahu berfikir dan menyifatkan kemenangan moral di Rompin adalah pengiktirafan rakyat ke atas Hudud; mereka menolak semua pemimpin profesional dalam Muktamar Pemilihan Jun ini dan berhasrat mahu memutuskan hubungan dengan PR kerana yakin boleh bergerak sendirian maka kekalahan teruk akan menanti di depan.
PAS yang bersendirian walau pun menang banyak kerusi parlimen serta sedia membentuk kerajaan campuran bersama BN tetap tidak mampu memaksa BN menghentikan cukai GST dan penyelewengan berbilion ringgit wang rakyat. Rakyat tidak nampak PAS akan mampu melakukannya sebagaimana keyakinan yang semakin kukuh dalam fikiran ulama parti itu.
PAS mahu ke mana kalau bersendirian? Itulah persoalan rakyat. Dan persoalan itu juga ditujukan kepada puak ulama yang berkerja keras mahu memancung golongan profesional dalam muktamar.