Kenyataan media: Keputusan PRK Parlimen Rompin memberikan isyarat yang jelas kepimpinan DS Najib tidak lagi berkesan.
Pahang adalah Negeri DS Najib.
Pengurangan majoriti calon BN sebanyak 6,244 undi adalah menunjukkan jumlah besar yang tidak lagi bersedia memberikan kepercayaan mereka kepada parti yang dipimpin oleh DS Najib. Sungguhpun pada masa yang sama 6,244 pengundi itu tidak pula mengalihkan undi mereka kepada PAS atas sebab sebab yang mereka sendiri tahu, namun paling tidak mereka yang pernah mengundi BN genap 2 tahun lalu tidak lagi mengundi BN pada kali ini.
Jika jumlah tersebut dapat diterjemahkan menjadi undi kepada pembangkang, Insya-Allah perubahan politik yang besar akan berlaku dalam negara.
Tidak dapat tidak isu GST, 1MDB dan gaya pengurusan negara ala DS Najib adalah munasabah sebagai faktor penolakan itu.
Faktor-faktor ini akan menjadi lebih penting menjelang PRU yang akan datang.
Pada waktu yang sama, Rompin menyaksikan peningkatan undi yang ketara kepada PAS di beberapa peti undi sekalipun jumlah undi PAS berkurangan sebanyak 25 undi berbanding PRU lalu. Peningkatan itu dikaitkan dengan isu semasa seperti GST dan penyenaraian FELDA.
Pada masa yang sama, pengundi bukan Melayu pula menghantarkan isyarat berbeza kepada PAS dengan berlaku pengurangan yang ketara. PAS perlu menggariskan pilihan strategi yang bijak dari indikator Rompin di semua sudut.
Pada pandangan saya, pengundi yang diwakili oleh 6,244 orang itu sudah sedia berubah. Sekalipun PAS mungkin bekerjasama dengan UMNO dalam apa jua bentuk bagi PRU yang akan datang, arus penolakan terhadap kepimpinan DS Najib adalah cukup besar untuk membuat perubahan sebaliknya.
Husam Musa
6/5/2015