KENYATAAN MEDIA: Pakatan Rakyat Johor hari ini menyokong seratus peratus dan manjunjung titah Tuanku Sultan Johor baru-baru ini yang menyifatkan perlaksanaan GST sebagai ‘tidak masuk akal’.
ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah dalam sidang media pagi ini di lobi Dewan Undangan Negeri Johor menyatakan bahawa, beliau amat yakin bahawa keseluruhan rakyat jelata anak Johor juga pasti menyokong titah Tuanku dan amat berterima kasih atas keprihatinan Tuanku dan kepekaan terhadap kesusahan yang ditanggung oleh rakyat akibat cukai tersebut.
“Sewa gerai kena GST, sewa rumah dari pihak negeri kena GST dan sehingga tukar nama untuk cukai harta di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pun kena GST juga.
Dahulu satu borang I untuk tukar nama perlu bayar RM50. Sekarang sudah jadi RM53″ ujar Jimmy.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah ADUN Parit Yaani-YB Hj Aminolhuda Hassan, ADUN Skudai-YB Dr Boo Cheng Hau dan barisan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat yang lain.
Menurut Aminolhuda, 6% GST bukanlah satu jumlah yang kecil. Jika RM100, selepas 6% menjadi RN106. Bagi rakyat biasa, RM6 mungkin bajet makanan mereka untuk satu malam!
“Pendirian Pakatan Rakyat (PR) selama ini adalah berasaskan alasan cukai GST membebankan rakyat. GST regresif, dijangka dapat mengutip RM23 bilion. Selepas tolak cukai jualan SST dan pemberian BR1M, kutipan bersih (nett) adalah RM690 juta.
Untuk RN690 juta ini, rakyat dimangsakan” tambah Jimmy lagi.
Dr Boo menegaskan bahawa, titah Tuanku Sultan amat bertepatan dengan keadaan tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat khususnya di Johor.
Justeru, PR Johor menjunjung kasih titah Tuanku dan amat berterima kasih.
BERI MASA SEHINGGA 18 Mei 2015 KEPADA KHALED NORDIN
Dalam sidang media yang sama, PR Johor turut mengambil maklum ucapan Menteri Besar-YAB Dato’ Seri Khaled Nordin pada 8 Mei 2015 lalu.
Khaled dalam ucapannya telah meminta Kastam memandang serius dan mengambil tindakan segera terhadap intipati titah Tuanku berhubung isu GST.
“Bagi kami, Khaled tidak boleh sekadar memindahkan tanggungjawab menyelesaikan isu GST ini kepada pihak ketiga (Kastam) semata-mata.
Beliau sebagai ketua eksekutif dalam pentadbiran kerajaan negeri dan dengan peruntukan kuasa yang ada sewajarnya bertindak lebih tegas dan efektif bagi memastikan GST dapat dihentikan segera dari terus membebani rakyat” tegas Jimmy.
“Oleh itu, Pakatan Rakyat memberikan Khaled sehingga 18 Mei 2015; hari terakhir persidangan DUN untuk melihat sejauh mana tindakan serius diambil oleh kerajaan negeri selaras titah Tuanku Sultan” tambah beliau lagi.
KERAJAAN NEGERI JOHOR PERLU SERIUS TANGANI ISU GST, BUKAN AMBIL JALAN PINTAS
Dalam satu kenyataan media yang berasingan, Pengerusi DAP Johor-Liew Chin Tong menegaskan supaya Kerajaan Negeri perlu tangani isu dibangkitkan Tuanku Sultan Johor dengan lebih serius dan penuh tanggungjawab.
“Kerajaan Johor telah mengambil jalan pintas apabila mengambil keputusan menyerap sejumlah lebih kurang RM3.19 juta dari peruntukan negeri bagi menampung kos GST yang dikenakan keatas PBT.
Saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri Johor menggembeling usaha bersama kerajaan-kerajaan negeri yang lain bagi menyatakan pendirian bersama seterusnya diajukan kepada Majlis Kewangan Nasional berhubung isu GST yang membebankan rakyat ini” ujar beliau.
Jangan ambil jalan pintas. Jangan mengelak dari isu sebenar. Isu sebenarnya ialah, sistem GST perlu dihentikan segera. Rakyat menerima bebanan besar dari GST. Rakyat menjadi mangsa!” tegas Liew Chin Tong.
KENYATAAN MEDIA DISAHKAN OLEH:
LIEW CHIN TONG
Pengerusi DAP Johor
YB HJ AMINOLHUDA HASSAN
Pesuruhjaya PAS Johor
HASSAN KARIM
Pengerusi KeADILan Johor