Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa, Datuk Seri Najib Razak tidak menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1987 seperti dikatakan perdana menteri itu dalam ucapannya di Sabah semalam.
Katanya, Najib banyak bertindak “play safe”, atau mengambil jalan selamat, selama ini, dan hanya mula menyokong perdana menteri paling lama berkhidmat itu apabila ditekan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Najib tidak sewajarnya berbohong mengatakan menyokong Dr Mahathir ketika dicabar Tengku Razaleigh (Hamzah) dalam tahun 1987.
“Saya tahu kerana saya adalah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu masa itu, yang mendapat maklumat yang sah dari wartawan saya sendiri di lapangan.
“Jika tidak kerana tekanan Anwar, Najib takkan sokong Mahathir,” tulis Zainuddin, lebih dikenali sebagai Zam, di blognya zamkata.blogspot.com hari ini.
Berucap di hadapan kira-kira 40,000 orang pada program Solidariti Rakyat Sabah bersama Perdana Menteri di Padang Perbandaran Tawau semalam, Najib dilaporkan Bernama berkata, setiap pemimpin pernah menempuh ujian, tidak terkecuali Dr Mahathir yang menghadapi lebih banyak ujian.
“Mana tak ada ujian. Ujian Team A, Team B (dalam pemilihan Umno, Dr Mahathir) hampir kalah. Hampir 50% ahli Umno suruh dia letak jawatan. Tapi apa dia jawab, ‘walaupun saya menang satu undi, saya akan tetap terus menjadi Perdana Menteri’. Oh hebat dia jawab.
“1987, saya antara yang menyokong dia. Dia (Dr Mahathir) kekal menjadi perdana menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam susah, kita beri sokongan, dia kekal,” katanya sambil mengatakan walaupun Dr Mahathir kini tidak menyokongnya, beliau berharap bekas perdana menteri itu tidak “bunyi sangat” atau merosakkan parti.
Zam berkata, selepas ucapan itu disiarkan, beliau menerima pesanan ringkas dari seorang bekas pegawai tinggi Umno yang berbunyi: “Dia bohong sokong Dr M 1987. Dia mula sokong TR (Tengku Razaleigh) saya masih ingat lagi. Masa itu dia timbalan, AI (Anwar Ibrahim). AI yang tekan dia sokong Dr M, banyak saksi yang masih hidup. He is really desperate. Dr M menang dgn 44 undi. He didn’t campaign at all. He is playing safe.”
Zam ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, Najib memang seorang yang banyak ‘play safe’ dalam hal politik demi untuk terus bertahan.
“Najib selamat banyaknya atas ‘playing safe’. Najib punya bertahan selama ini (sebab) ‘playing safe’. Bila sampai dia menjadi perdana menteri pun, dia ‘play safe’, sampai orang lain yang mengemukakan dia,” katanya.
Zam mendakwa, Najib sering bersikap berkecuali dan memilih berdiam diri apabila timbul sesuatu isu penting.
“Dia berkecuali. Masa nak jatuhkan Pak Lah pun dia berkecuali. Dia mengelak dan dia tidak terlibat. Dia tidak terlibat dalam secara berterus terang,” katanya merujuk kepada bekas timbalan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Zam juga menegaskan, pada tahun 1987 itu, beliau sendiri mengambil pendirian untuk tidak menyokong mana-mana pihak bagi mengelakkan perpecahan berlaku.
“Dr Mahathir menang secara persendirian. Dia menang atas tiketnya sendiri. Tak ada wang yang dibelanjakan. Apa pun tak ada,” katanya, mempertahankan Dr Mahathir.
Terdahulu hari ini, Zam di dalam blognya berkata Najib tidak lagi mendapat sokongan daripada rakyat, terutama partinya sendiri, dan beliau dijangka akan mengakui perkara ini pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno petang ini.
Zam turut menyeru rakyat Malaysia memanjatkan doa bersama Dr Mahathir yang kini berada di Mekah, agar perdana menteri meletak jawatan.
“Seluruh umat Melayu dan Islam di negara Malaysia tercinta ini, marilah kita bersama-sama menyertai doa mantan perdana menteri Dr Mahathir di tanah suci Mekah agar Allah membuka hati perdana menteri untuk dengan secara bijaksana berundur diri dan meletakkan jawatan pada masa yang sesuai bagi menyelamatkan maruah bangsa, agama dan negara,” katanya.
Zam menulis demikian dalam artikelnya bertajuk “Marilah Kita Sertai Doa Tun Mahathir di Mekah Supaya Najib Berundur” yang dimuat naik di blognya zamkata.blogspot.com.