IPOH: Kayuhan Amal sempena Hari Pekerja telah berjaya menarik penyertaan seramai 200 orang dari kalangan pelbagai bangsa, latar belakang dan peringkat umur.
Program yang diadakan pada 10 Mei lalu itu dianjurkan oleh Alternative Cycling Club (ACC) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan (DACS) Negeri Perak dan Malaysia.
Kayuhan sepanjang 35 kilometer itu bermula dari Taman Botani, Ipoh menyelusuri beberapa tempat termasuklah Kellie’s Castle dan Simpang Pulai seterusnya berakhir di lokasi permulaan.
Ketua ACC Malaysia, Shamsul Anuar Mohd Bushro berkata, program tersebut antara lain bertujuan mengumpul dana dalam membantu mangsa banjir di Negeri Kelantan yang masih memerlukan bantuan.
Kata beliau, kayuhan santai itu mendapat sambutan yang luar biasa apabila disertai oleh penggemar kayuhan daripada seluruh negeri.
Kayuhan yang diadakan secara percuma itu juga katanya sebagai alternatif mendekatkan PAS dengan masyarakat disamping memberi gambaran bahawasanya parti itu merangkumi semua aspek.
“ACC adalah satu kelab di bawah naungan DACS Malaysia yang ditubuhkan untuk menarik minat pengayuh untuk bersama-sama dalam program yang dianjurkan oleh PAS seterusnya meraih sokongan mereka.
“Ini adalah usaha dakwah jangka masa panjang, kami cuba mengaplikasikan PAS adalah untuk semua dengan merangkumi semua aspek termasuklah sukan,” katanya.
Program itu katanya mendapat reaksi yang positif dari kalangan peserta dan masyarakat setempat, membayangkan rakyat semakin selesa untuk bersama dalam program yang dianjurkan oleh parti itu.
Jelas Shamsul, pihaknya mendapat tajaan pelbagai pihak dalam menjayakan program tersebut termasuklah syarikat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penaja dan para penyumbang tabung dana mangsa banjir.
“Beberapa program lagi telah dirangka dalam menggiatkan lagi program-program kemasyarakatan untuk menarik minat masyarakat,” jelasnya lagi.
Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan cabutan bertuah yang disumbangkan oleh para penaja.