Kebelakangan ini berlaku kecenderungan dalam kalangan kepimpinan ulama PAS yang mahu menyapu bersih kesemua jawatan tinggi parti pada Muktamar Pemilihan Jun depan, mengulangi konsep perjuangan jumud yang telah ditolak semasa era kepimpinan bekas Presiden PAS Fadzil Noor dan Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat.
Kaedah perjuangan kumpulan ulama ini dilihat mengulangi kecelaruan berfikir tokoh-tokoh agama era penjajahan, pada abad ke 19. Di Asia Tenggara, ulama yang digelar Kaum Tua ketika itu rela bekerja di bawah penjajah British, Belanda, Perancis dan sebagainya demi survival. Mereka selesa dengan jawatan mufti, guru agama, imam dan lain-lain lagi.
Ulama Kaum Tua enggan melawan penjajah malah mereka menganggap bangsa asing itu adalah kawan. Menyaingi Kaum Tua adalah ulama Kaum Muda yang mengadaptasi idea baharu dari gerakan pembaharuan Muhammad Abduh di Mesir dan Turki Muda di Turki.
Mereka berpendapat wajib melawan penjajah dan menolak sekularisme serta nilai Kristian yang merosakan masyarakat. Kaum Muda mahu menuntut kemerdekaan. Tercatat dalam sejarah, ulama Kaum Muda merupakan pencetus gerakan kemerdekaan di Indonesia, Tanah Melayu, Selatan Siam, Brunei dan Singapura.
Berputar 180 darjah
Kini, puak ulama PAS berputar 180 darjah ke belakang dan mengulangi kejumudan Kaum Tua di Tanah Melayu. Amaran ahli parlimen Temerloh Nasruddin Tantawi baru-baru ini bahawa menjadi satu kesalahan sekiranya menggadaikan Islam demi ‘rakus’ mengutamakan kemenangan pilihan raya adalah tidak relevan untuk diamalkan dalam gabungan politik bersama Pakatan Rakyat.
Menang dalam pilihan raya telah diputuskan sejak zaman Fadzil Noor dan Nik Aziz sebagai satu keperluan untuk mempraktikan hukum Islam di bumi Malaysia. Dalam konteks itu, hujah MB Kelantan Ahmad Yaakob bahawa PAS rela kalah asalkan Hudud dilaksanakan dilihat mengkhianati semangat perjuangan pemimpin terdahulu.
Nik Aziz yang berjasa meluluskan Hudud di Kelantan pada awal 1990an tidak pernah berpegang kepada kaedah sedemikian. Apabila Dr Mahathir menetang keras Hudud dan sedia mengisytihar darurat sekiranya Kelantan melaksanakan undang-undang itu, Nik Aziz menangguhkan niat untuk melaksanakan Hudud.
Tidak dapat dibayangkan sekiranya Ahmad Yaakob menjadi MB Kelantan. Hudud diteruskan dan Mahathir menghantar tentera menumbangkan kerajaan negeri.
Di sini terbukti kebijaksaan Nik Aziz. Mursyidul Am PAS itu berupaya berfikir rasional, sekiranya PAS jatuh maka jangankan Hudud hukum Islam yang lebih kecil pun tidak akan dilaksanakan Umno. Tanpa kebijaksanaan Nik Aziz dan Fadzil Noor maka PAS tidak akan mampu dilihat sebagai gerakan politik pembaharuan yang berhasil memperkenalkan cuti pada Sabtu, cuti bersalin dua bulan, pajak gadai Islam, dasar membangun bersama Islam, dinar emas Kelantan dan banyak lagi.
Tawan Putrajaya
Hari ini, entah siapa yang menghasut pemimpin ulama PAS, kebijaksanaan Nik Aziz tidak lagi dijadikan sandaran. Sedangkan dalam hal Hudud banyak sarjana Islam berpendapat sekiranya terdapat halangan atau tipu daya, adalah lebih aman parti Islam mengutamakan hal-hal kebajikan rakyat sehinggalah keadaan benar-benar kondusif. Malah Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin juga berpendapat banyak perkara lain dalam pemerintahan Islam yang belum sempurna dilaksanakan di negara ini dan parti Islam boleh melakukan perkara itu terlebih dahulu.
Hudud paling aman dipraktikkan selepas Pakatan Rakyat menawan Putrajaya. Selain itu, terdapat ruang untuk Umno mensabotaj dan akhirnya merugikan PAS. Apatah lagi ketika puak Dr Mahathir sedang cuba menggulingkan kepimpinan Najib Razak.
Sebaik sahaja Najib berjaya dijinakkan atau menjadi PM boneka – sekiranya beliau enggan meletak jawatan – maka puak Mahathir akan mensabotaj Hudud yang tidak digemari bekas diktator tua itu. Fitnah ke atas PAS akan lebih besar.
Sebaliknya, Pakatan Rakyat yang hanya memerlukan 5 peratus tambahan sokongan dalam pilihan raya ke 14 dan dijangka mampu mengambil alih Putrajaya berdasarkan mood ketidak puasan hati rakyat dalam isu cukai GST. PAS tidak rugi mengejar kemenangan bersama PR. Juga tidak rugi menunggu detik kemenangan itu.
Sekiranya ulama berfikiran lebih strategik maka kemenangan adalah sesuatu yang wajar diutamakan. Namun jika pemikiran ala Tantawi atau Ahmad Yaakob mengambil tempat maka lebih baiklah PAS tidak lagi menjadi gerakan siasah.
Dengan mengutamakan Hudud walau apa halangan sekali pun, PAS sudah tidak relevan sebagai parti memerintah. Apatah lagi PAS sanggup kalah dan Umno Kelantan telah pun sedia untuk menggalas tanggungjawab melaksanakan Hudud.
Contohi Tabligh
Lebih baik PAS selepas ini bergerak sebagai gerakan dakwah sahaja setelah perjuangan mereka menegakkan Hudud berjaya. PAS akan lebih dipandang suci andainya gerakan itu mencontohi Tabligh. Dakwah Tabligh tidak jauh berbeza dengan PAS; mengajak masyarakat memakmurkan masjid, mendakwah saudara baharu, keluar 3 hari atau sebulan berdakwah dan sebagainya. Semua ini akan lebih memberi kepuasan kepada jemaah PAS.
Untuk apakah PAS bersusah payah melawan Umno dalam pilihan raya sedangkan terdapat begitu banyak hadis dan ijtihad ulama muktabar yang melarang menjatuhkan sesebuah pemerintahan yang melaksanakan hukum Islam?
Pilihan yang lebih baik tentulah PAS membentuk kerajaan campuran bersama BN. Namun amat sukar untuk parti itu mengeluarkan fatwa harus menyelewengkan wang rakyat; harus mencaci dan memfitnah Anwar atau harus mengekalkan kasino Genting. Oleh itu sebagai jalan keluar bagi PAS, adalah molek sekiranya parti itu ditukar menjadi gerakan dakwah dan tidak lagi mencampuri urusan politik. Politik Islam diserahkan ke tangan khalifah Najib Razak al Haj untuk mencorakkannya.
Perwakilan PAS yang akan memilih pemimpin dalam Muktamar Jun nanti amat wajar mencadangkan pengunduran PAS daripada perjuangan siasah.
Atau sekiranya mereka inginkan PAS seperti sedia kala maka pemimpin yang perlu dilantik bukanlah berkualiti Tantawi atau Ahmad yang ‘mengarut’ arah perjuangannya. Pemimpin yang perlu dilantik tentunya sekumpulan progresif yang mampu menggalas amanat Fadzil dan Nik Aziz kekal bersama Pakatan mengejar kemenangan merampas Putrajaya.
Tulisan ini adalah pendapat peribadi pengarang dan bukannya dasar rasmi suarapakatandaily