Oleh: YM Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss
Aku berada di bawah Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik tidaklah begitu lama. Muktamar seterusnya mentaklifkan Haji Mahfuz Omar (pada ketika itu belum mendapat gelaran Dato’) dan Pemuda PAS Pusat melantik aku sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Pemuda. Satu tanggungjawab yang cukup besar disaat usiaku yang sangat muda. Saat inilah aku dididik tentang realiti politik khususnya dalam konteks PAS di negara ini.
Allah menganugerahkan Haji Mahfuz dengan kehebatan dan kecerdikan dalam bidang politik. Beliau sememangnya cekap, bijak, cergas dan cerdas dalam mengulas isu-isu semasa. Setiap isu beliau mampu mencerakinkan sebaik mungkin dalam membawa PAS khususnya Pemuda terkehadapan dalam memperjuangkan segala perkara khususnya melibatkan kepentingan masyarakat.
Tugas aku pada ketika itu adalah melaksana dan merancang gerak kerja serta pelan tindakan Ketua Pemuda. Tidak terlepas untuk menjadi wakil kepada Haji Mahfuz dalam program-program tertentu dan menjadi penghubung kepada massa dan rakyat.
Pelbagai ranjau
Haji Mahfuz seorang yang proaktif dalam segala perkara terutama dalam menggerak serta memperjuangkan sesuatu isu. Dengan pengalamannya termasuklah ditahan di bawah tahanan ISA, beliau memang tidak kenal erti takut walaupun menghadapi pelbagai ranjau dan risiko.
Haji Mahfuz dijatuhkan hukuman penjara apabila terlibat dalam demonstrasi kriket anti-Israel, beliau disumbat dalam penjara selama sebulan bersama beberapa individu termasuklah Haji Salahuddin Ayub. Saya masih ingat, ketika di mahkamah selepas hukuman dijatuhkan, Haji Mahfuz pegang tangan saya sambil berkata.. “Raja, ana serahkan perjalanan dan urusan ana kepada anta” Huh…. aku tergamam!
Aku rasa satu cabaran besar apabila dihubungi pimpinan-pimpinan dalam dan luar negeri termasuklah pimpinan Hamas yang menyanjung tinggi keberanian Pemuda PAS dalam memperjuangkan isu tersebut. Di saat itu juga, aku ditugaskan untuk mewakili Haji Mahfuz dalam ceramah serta program-program sepanjang beliau dipenjara.
Pada masa itu, Markas PAS Taman Melewar menjadi pejabat serta kediaman aku oleh kerana ketidakmampuan untuk menyewa serta membiayai kos kehidupan dengan gaji yang minima di ibu kota. Aku dididik dengan tarbiah amali, ia sangat memberi kesan terhadap keperibadianku.
Disepanjang menjadi Setiausaha Politik kepada beliau, Haji Mahfuz banyak mengajar aku berkaitan hubungan antarabangsa. Jaringan politik antarabangsa khususnya antara gerakan Islam memang menjadi satu agenda penting Pemuda PAS kata ketika itu. Aku dibawa bertemu dengan ramai pihak terhadap pelbagai perkara.
Tidak gentar
Haji Mahfuz sentiasa mengarah aku mengenalpasti isu-isu untuk dimain serta diperjuangkan, dalam masa yang sama beliau sering memantau perjalanan lajnah-lajnah dibawah pentadbirannya agar Pemuda PAS terus maju ke hadapan. Aspek tarbiah antara yang menjadi keutamaan kepada Pemuda PAS dibawah naungannya pada ketika itu.
Ternyata Haji Mahfuz seorang yang sangat wibawa, diuji dengan pelbagai perkara tetapi langsung tidak pernah mematahkan semagatnya untuk meneruskan perjuangannya sehingga ke hari ini. Aku sering diperingkatkan olehnya agar terus belajar dan belajar tanpa henti berkaitan politik untuk menjadi pemimpin yang berkualiti.
Ketabahan dalam menghadapi ujian, cakna, licik serta kreatif dan membawa isu-isu antara keistimewaan yang ada di dalam diri bernama Haji Mahfuz. Beliau sentiasa menjadi inspriasi dalam mematangkan diri di dalam jamaah hingga ke hari ini. Aku banyak belajar dengannya, aku terdidik melalui dirinya. Aku menjadi seorang pemimpin dengan pengalaman berharga bersamanya.