Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat meminta supaya semua perwakilan menggunakan akal fikiran bagi memilih kepimpinan yang dapat memajukan parti dan negara dengan idea yang segar.
“Pilihlah pemimpin yang boleh membawa Pemuda PAS meluncur jauh ke hadapan dengan idea-idea segar dalam jemaah dan negara.
“Allah telah anugerahkan akal fikirkan untuk kita berfikir. Akal fikiran inilah yang membezakan kita dengan makhluk lain,” katanya dalam ucapan dasar Muktamar Pemuda PAS kali ke-56 di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK, Shah Alam petang ini.
Menjadikan kisah kepimpinan Talut sebagai contoh, Suhaizan berkata kisah tersebut memberi pengajaran supaya masyarakat memilih pemimpin yang sesuai mengikut zaman dan keperluannya.
Menurutnya, Talut dipilih Allah untuk menjadi pemimpin mengikut zaman tersebut berdasarkan kekuatan ilmu dan fizikalnya, walaupun pada ketika itu terdapat nabi dan bangsawan dari kalangan Bani Israil.
Malah, Allah juga tidak memilih pemimpin dari mereka yang berharta, kata Suhaizan.
“(Kisah Talut) ini memberi pengajaran kepada kita semua bahawa kita perlu melantik pimpinan yang sesuai dengan keperluan dan kemudahan kita pada hari ini.
“Cukuplah peristiwa ini menjadi ‘ibrah kepada kita bersama,” katanya.
Ucapan dasar Suhaizan hari ini dilihat sebagai “peluru terakhir” beliau sebelum pemilihan jawatan ketua pemuda yang akan diadakan esok.
Suhaizan berdepan cabaran anak bekas mursyidul am PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz bagi merebut jawatan itu.