Mohamad Sabu yang sering didakwa tidak sehaluan dengan presiden parti mengambil keputusan melepaskan jawatannya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan menggesa ahli PAS lain mengambil langkah sama, susulan keputusan parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.
Bekas timbalan presiden PAS itu mengumumkan meletak jawatan sebagai pengarah dalam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Penang International Halal Hub.
“Saya akan letak jawatan dalam PBAPP dan lembaga pengarah halal hub.
“Saya ikut cakap ulama, kalau tak, saya dikata tak ikut cakap ulama,” sinisnya dalam ucapan penggulungannya pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.
Semalam, muktamar tersebut meluluskan tanpa dibahas usul Dewan Ulama PAS Pusat memutuskan hubungan dengan DAP dan pada masa sama, kekal kerjasama dengan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR).
Hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP berkata peletakan jawatan yang dijangkakan daripada wakil PAS dalam kerajaan negeri akan diterima dengan segera tanpa soalan kerana ia tidak mempunyai sebarang impak terhadap kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri.
Dalam ucapan sama, Mohamad juga dikenali sebagai Mat Sabu, secara menyindir menyeru PAS terus maju menentang Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, PAS boleh mengabaikan DAP yang hanya sebuah parti kecil.
“Lawan kita Umno-BN. DAP ini, bagi kita, ‘kecil’ sahaja.
“Kita lutut dia, siku dia, jatuh. Kita karate dia, kita baca tahlil untuk dia,” katanya merujuk ucapan AJK PAS Pusat yang baharu Nasrudin Tantawi yang menyelitkan perkataan kasar siku dan lutut dalam ucapan perbahasan menyentuh DAP.
Mat Sabu turut menggesa muka baru dalam barisan kepimpinan sekarang terus menjalin hubungan dengan aktivis dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bukan politik.
“Dalam politik mutakhir ini, ramai juga rakyat yang tidak memilih PAS, Umno, DAP, tetapi mereka memilih NGO dan kumpulan kuasa ketiga ini,” katanya.