PAS sekarang faham yang “anda tidak boleh minta cerai tapi masih hendak tinggal di rumah yang sama”, kata seorang pemerhati ketika parti Islam itu kini merasa kesannya akibat daripada niat mereka berpatah arang dengan DAP.
Pemimpin PAS Selangor khususnya, bertungkus-lumus memberi amaran kepada pucuk pimpinan parti agar tidak meneruskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP, yang diluluskan muktamar parti itu tanpa bahas, menimbulkan kemarahan beberapa perwakilan.
Akibat daripada usul itu mula dirasai apabila Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau sedia menerima peletakan jawatan wakil PAS dalam kerajaan negeri dan agensinya dengan segera tanpa sebarang soalan.
Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, beliau percaya mereka “tiada pilihan lain kecuali meletakkan jawatan” selepas usul itu diluluskan kerana “suatu yang tidak dapat dipertahankan daripada segi politik” bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuainya.
Pemimpin PAS kemudiannya dengan segera cuba memperbetulkan keadaan.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, usul itu walaupun diterima pakai, bukan satu keputusan muktamad dan masih perlu diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.
Tetapi, pemimpin PAS Selangor bimbang jika parti itu meneruskan hasrat Dewan Ulama yang konservatif melaksanakan usul itu, kerajaan negeri akan jatuh.
PAS mempunyai 15 daripada 43 kerusi Pakatan Rakyat (PR) dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 56 kerusi itu dan 3 wakil rakyat yang menjadi exco kerajaan negeri.
Apa yang terjadi merupakan isyarat tidak baik bagaimana barisan kepimpinan konservatif yang baharu mahu menguruskan PAS dan bagaimana ia berfungsi dalam pakatan pembangkang PR.
Isyarat pertama akibat retorik parti itu ialah apabila bekas timbalan presidennya, Mohamad Sabu berkata beliau akan melepaskan semua jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang.
Beliau juga menyindir kepimpinan parti dan usul menolak DAP itu, mengatakan PAS pasti boleh hidup sendiri.
Pengumuman itu dibuatnya sebaik muktamar di Kuala Selangor itu menyedari kenyataan dibuat Lim semalam mengenai wakil PAS dalam kerajaan negeri itu.
Selepas ucapan Mohamad, pemimpin PAS Selangor Sallehin Mukhyi membuat ucapan yang penuh perasaan bagaimana parti itu selama ini bekerjasama rapat dengan DAP dan PKR dalam kerajaan negeri, yang digambarkan sebagai model pentadbiran PR di Malaysia satu hari nanti.
Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad, juga bersungguh-sungguh meyakinkan media selepas muktamar itu yang mereka di Selangor akan bekerja seperti biasa dan PAS tidak berhasrat meninggalkan pentadbiran negeri.
“Usul itu bukan pendirian muktamad PAS. Saya tahu kepimpinan kita adil dan akan mendengar semua pandangan dan saya akan memberitahu mereka bagaimana baiknya kerjasama dalam kerajaan negeri Selangor,” katanya yang baru dipilih sebagai naib presiden itu.
Usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP itu diluluskan sayap ulama parti pada Rabu. Ia sebagai tindak balas kepada keputusan DAP pada Mac memutuskan hubungan dengan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menentang hudud di bawah Enakmen Syariah Kelantan.
Usul itu kemudiannya diluluskan tanpa bahas pada muktamar utama, satu keputusan yang dibuat pemimpin kanan tetapi dikritik hebat perwakilan.