Allahyarham Hj Mokhtar meninggal dunia kerana sesak nafas dan mengalami sakit barah usus. Semasa beliau masih hidup, beliau bersama isterinya sangat terkenal dengan dunia urut tradisional. Kini kerja tersebut disambungi oleh isterinya bagi meneruskan kehidupannya bersama anak-anaknya.
Walaupun arwah telah pergi, namun jemaah PAS Kawasan Selayang tidak pernah melupakan jasa baik yang diberikan oleh arwah dalam membantu kerja – kerja parti .
Atas dasar keperihatinan PAS Kawasan Selayang kepada Isteri dan anak-anaknya, rombongan ziarah telah diadakan baru-baru ini bersama Kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Taman Templer di kediamannya di Selayang baru.
Dalam ziarah tersebut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer merangkap YDP PAS Kawasan Selayang, Hj Mohamad Abd Rahman telah menyampaikan sumbangan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada balu allahyarham Pn. Wan Hanisah W. Hamat.
Menurut Wan Hamisah suaminya pernah suatu ketika menjadi ahli parti Umno namum meninggalkan parti itu kerana bermasalah dari sudut pentadbiran dan sahsiah. Selepas bersara dari TUDM pada 1985 beliau bertukar parti dengan menjadi ahli PAS seumur hidup
“Walaupun PAS pada masa itu belum mengecapi kemenangan. Tetapi alhamdulilah sebelum arwah menutupkan matanya beliau dapat menikmati kemanisan kemenangan dengan sumbangan tenaga, buah fikiran untuk kebaikan generasi akan datang pada PRU ke 12 yang lalu,” katanya.
Wan Hasnah juga mengenang kembali peristiwa pahit manis berkempen untuk PAS. Terutama sewaktu mereka suami isteri berkempen di PRK Manik Urai pada 2009 lalu
“Saat yang saya tidak boleh dilupakan semasa PRK Manik Urai di mana rumah kediaman petugas Negeri Selangor bersebelahan dengan rumah Umno/BN.
“Lucu ada marah pun ada dengan puak-puak Umno/BN yang buat kerja gila. Kampung di sana menggunakan air bersambung satu hari bekalan air telah diputuskan oleh Umno/BN.
“Semua petugas Selangor terutamanya muslimat tidak dapat mandi. Arwah dan beberapa orang muslimin terpaksa mengangkut air untuk membantu muslimat dengan mencari bekalan air di luar kawasan DUN Manik Urai. Ada juga yang menadah air hujan waktu malam untuk kegunaan memasak dan sebagainya.
“Kami rasa macam zaman Jepun pula masa tu. Terasa kenangan ini memang sukar dilupakan. Pada masa ini juga semua petugas PR diminta pula berpuasa arahan pucuk pimpinan PAS, Tuan Guru Nik Aziz sebelum 2 hari PRK tiba, memandangkan PR telah diserang berbagai sudut dan masa ini juga rasuah telah semakin menular untuk diberikan kepada pengundi yang disampaikan oleh Umno/BN. Kami semua ikut arahan.
“Walaupun bekalan air terputus tetapi kami dapat rasa nikmatnya dengan kesatuan hati-hati setiap ahli. Bekalan makanan juga sentiasa mengcukupi. Pergi mencula dalam keadaan berpuasa masa itu. Semua yang berpuasa ketika itu seperti tidak berpuasa kerana tidak nampak keletihan walaupun musim panas,” cerita wan Hasnah mengimbau pengalaman manis bersama suaminya dan ahli PAS yang lain dalam mengharungi cabaran getir pilihanraya kecil.
Sementara itu, YDP PAS Kawasan Selayang, Hj Mohamad berkata “Semasa arwah masih hidup beliau dan iserinya tidak pernah ketinggalan untuk menyertai kerja-kerja jemaah dan sentiasa bersama membantu kerja pilihanraya kecil (PRK) setiap negeri dan pilihanraya umum.
“Arwah Mokhtar pernah memegang jawatan dalam parti sebagai AJK PAS Cawangan Selayang Baru 1993, begitu aktif dalam semua program parti, masjid dan surau.
“Kita harap kegigihan dan sikap arwah dan isterinya dijadikan contoh kepada semua ahli PAS. Kerja dakwah ini satu kemuliaan di sisi ALLAH dan tidak akan terhenti. Dengan itu, pihak PAS Kawasan Selayang berhasrat insya-ALLAH kita akan mengadakan satu majlis anugerah kepada semua ahli PAS yang aktif, mempunyai sahsiah yang tinggi dan banyak menginfaqkan tenaga, buah fikiran dan harta benda mereka untuk membantu perjuangan ISLAM,” ujarnya.
Turut hadir bersama dalam program itu ialah Ketua Kampung Selayang Baru Hj Zulkifli Abd Hamid, Setiausaha PAS Kawasan Selayang Mokhtar Rozaidi, dan beberapa ahli PAS.