Pakatan Rakyat perlu dibubarkan memandangkan muktamar PAS menerima usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP minggu lalu.
Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, gabungan pembangkang tidak boleh dibuat tanpa penyertaan PAS dan harus di ganti dengan parti lain, lapor Sinar Harian.
“Sekiranya PAS memutuskan hubungan dengan DAP dan mereka tidak boleh duduk bersama, maka Pakatan tidak boleh diwujudkan lagi.
“Kalau mereka (PAS) keluar, Pakatan sudah tidak sempurna dan perlu dicari pengganti lain bagi mengisi kekosongan terbabit,” beliau dilaporkan berkata.
Menurutnya, pembubaran itu perlu dibuat dan distrukturkan semula dengan Pakatan yang baru bagi mengembalikan sokongan rakyat menjelang PRU14.
“Dalam situasi sekarang, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam soal menarik sokongan rakyat.
“Misalnya DAP banyak penyokong bukan Melayu, PKR pula mempunyai sokongan pelbagai kaum dan Pas mempunyai penyokong Melayu yang ramai,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Phahrolrazi April lalu mengumumkan akan memutuskan menjadi parti politik selepas berakhirnya muktamar PAS bagi melihat terlebih dahulu hubungan parti Islam itu dalam Pakatan.
Keputusan penubuhan parti itu mungkin akan dibuat Sabtu ini selepas PAS mengemukakan usul memutuskan hubungan dengan DAP di muktamar dan diterima tanpa bahas.