Oleh: Khaulah Azwar
Bandar Baru Selayang – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Taman Templer sekali lagi menyampaikan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) fasa pertama kepada 10 orang lagi waris baru-baru ini .
Semua waris yang menerima sumbangan skim tersebut telah mengira wang RM1000 depan saksi-saksi mereka dengan menandatangani surat penerimaan SMUE sebagai bukti. Ini adalah bertujuan bagi memastikan rekod penerimaan dibuat lebih bersistematik dan untuk mengelak berlakunya tuntutan dua kali oleh waris.
Sebelum itu, Pengurus PKM DUN Taman Templer, Kassim Packirry telah menyampaikan taklimat prosidur mengambil dana dari skim yang diberikan oleh Kerajaan PR Selangor itu.
“Tujuan kita minta waris menandatangani borang terima wang khairat ini adalah untuk mengelak berlakunya penipuan.
“Terdahulu ada rakyat yang mengambil kesempatan dengan menyatakan tuntutan tidak diterima. Apabila kita membuat semakan dalam sistem SMUE, kita dapati mereka sudah terima skim tersebut di kawasan lain.
“Sistem SMUE yang ada di negeri Selangor ini semuanya sentiasa dikemaskini, rakyat tidak boleh mengambil kesempatan kerana wang khairat kematian ini adalah untuk membantu rakyat agar mereka dapat menyelesaikan hutang piutang, mengerjakan haji/umrah, membina kubur arwah dan sebagainya.
“Wang sumbangan ini bukan untuk kita buat main-main. Kita harap rakyat takut dengan hukum tuhan agar tidak mengambil mudah sahaja dan Insya-Allah fasa ke-2 akan diberi dalam masa yang terdekat”, katanya.
Hjh. Salminah Ismail, 68 tahun yang menerima wang tersebut melahirkan kesyukurannya kerana wang simpanannya yang sedia ada belum mengcukupi untuk membuat batu nisan suaminya yang telah pulang ke rahmatuallah baru-baru ini.
Beliau yang turut menjaga 3 orang cucu yang tidak mempunyai ayah lagi tidak mahu membebankan anaknya yang telah kehilangan suami.
“Dengan adanya bantuan SMUE ini sekurang-kurangnya hasrat saya untuk membina batu nisan arwah secepat mungkin dapat dilaksanakan,
“Semasa pemerintahan Kerajaan UMNO/BN, saya tidak dengar ada skim SMUE, tetapi hampir 3 tahun Kerajaan PR memerintah baru saya dan rakyat tahu skim SMUE yang dikatakan seperti khairat kematian ini ada dan ramai rakyat yang sudah tahu skim tersebut melalui sebaran maklumat yang dibawa oleh Kerajaan PR.
“Ini bermakna pentadbiran Kerajaan PR lebih tulus daripada Kerajaan Pusat Umno/BN kerana wang khairat kematian semasa pemerintahan dahulu tidak sampai ke pengetahuan rakyat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan Kerajaan Negeri PR dan PKM DUN Taman Templer yang meringankan beban kami dan menjalankan amanah ini dengan sebaiknya,” ujarnya.