Anak lelaki bekas presiden PAS Datuk Fadzil Noor menegaskan beliau tidak lagi menyokong Presiden PAS walaupun perkataan keramat “I Support Presiden” menjadi moto kempen sepanjang Muktamar ke 61 yang lalu.
Katanya, presiden baharu PAS Tuan Guru Hadi Awang dilihat tidak lagi mahu berkerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat terutamanya DAP dengan alasan tidak menyokong hudud, dan dasar itu mengkhianati tahaluf siyasi yang diusahakan bekas presiden terdahulu Fadzil Noor yang terbukti menguntungkan PAS.
“Saya tidak akan sokong Presiden yang tak sokong PR kerana mengenangkan perjuangan bapa sebagai pelopor tahaluf siyasi yang berjaya membentuk gabungan parti pelbagai kaum direalisasikan sebelum ini,” ujar Faiz ketika memberi ucapan dalam majlis ‘Terbuang tetapi dikenang’ bagi mengenang jasa puak profesional PAS yang dipancung dalam muktamar lalu.
Menurut Faiz, Kegagalan pimpinan PAS melihat isu Hudud melambatkan proses pendamaian antara PR.
“PAS seharusnya bersifat terbuka melayani kerenah politik yang bersifat perbezaan pendapat dan menjurus kepada objektif yang sama,iaitu untuk melihat Malaysia menjadi lebih baik dengan menjatuhkan Umno-BN,” sinisnya.
Tegas beliau, hukum hudud adalah hukum yang sempurna dan perlu disokong tetapi perbalahan berlarutan akan mengabaikan perjuangan yang melibatkan rakyat dan melanggari prinsip dasar penubuhan PR.
“PR adalah perjuangan membela rakyat. Saya menyeru ahli PAS supaya menyokong penuh perjuangan Pakatan dan dalam masa sama memberi kefahaman tentang kebaikan hukum Hudud jika terlaksana nanti,” ujarnya.