Pakatan Rakyat yang terumbang ambing kini perlu diselamatkan dan diperkukuhkan demi mengelak rakyat daripada ditindas secara lebih dahsyat oleh rejim BN.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli berkata implikasi reformasi 1998 adalah permulaan politik kerjasama antara kaum di Malaysia lewat kesedaran politik yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara.
“Reformasi yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa kepada penubuhan parti berbilang kaum seterusnya membentuk Barisan Alternatif menjelang pilihan raya umum pada tahun 1999 itu. (Pakatan awal itu) berjaya menghilangkan separuh jumlah undian kaum Melayu kepada Umno – BN buat pertama kalinya.
“Ia permulaan yang baik. Kemudian kita menubuhkan PR hingga menyebabkan Umno-BN terjebak dengan krisis kepimpinan yang dahsyat tetapi (kini) kenapa kita sendiri hendak meruntuhkan kejayaan PR akibat sikap emosi sesetengah pemimpin yang hanya mementingkan kepentingan diri sendiri tanpa menghiraukan rakyat,” tegas Dr Hatta dalam program ‘Terbuang tetapi Terbilang’ mengenang jasa pemimpin profesional PAS di Restoran Pak Amjal, Lembah Pantai, malam tadi.
Tambah Hatta, Reformasi adalah gerakan mantap yang menerapkan unsur-unsur “National Building” ke dalamnya. Reformasi bukanlah pencetus huru-hara dahsyat. Reformasi juga memperkukuhkan semangat partrotisme dengan menolak kebobrokan BN.
Oleh itu, kata Dr Hatta, PR yang lahir daripada Reformasi wajib dipertahankan. Tidak wajar mana-mana parti melanggar dasar-dasar bersama PR yang mengkhianati perjuangan rakyat.
“Saya menyeru kepada mana-mana pimpinan Pakatan Rakyat, bahawa keutuhan kesepakatan harus dikekalkan supaya objektif menumbangkan Umno – BN tidak tersasar bagi membina masa depan Malaysia yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.