Keputusan DAP mengumumkan Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi wujud bukan bermakna ia menerima kekalahan bagi parti itu, kata ketua Parlimennya, Lim Kit Siang, hari ini.
“Keputusan menyatakan PR tidak lagi wujud bukan satu tindakan menyerah kalah tetapi untuk mengiktiraf realiti gabungan itu yang disokong harapan dan keyakinan tentang masa depan,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP semalam memutuskan PR tidak lagi wujud susulan pendirian PAS dalam muktamar tahunannya awal bulan ini memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP.
“Rakyat Malaysia kini perlu bergerak ke depan kerana tidak mampu membazirkan masa untuk berpolemik, supaya kita dapat menyalakan semula harapan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dan meyakinkan mereka kemungkinan itu masih ada dan relevan pada pilihan raya umum ke-14 nanti,” katanya.
Beliau berkata, faktor yang paling penting ketika ini ialah “penyusunan semula kuasa politik” di negara ini menjelang PRU14.
Walaupun tidak ada PR, beliau berkata harapan rakyat dapat terus dihidupkan dengan penyusunan semula kuasa politik sebelum PRU14.
Sementara itu, Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) memutuskan membentuk sebuah parti politik baru dan mencadangkan supaya pakatan pembangkang baru dibentuk.