Oleh: Salena Tay
Inilah soalan yang sedang ditanya oleh penyokong Pakatan Rakyat (PR) pada masa kini. Penulis telah membuat tinjauan rakyat di pasar pagi Kepong Baru, Kuala Lumpur dan bertanyakan soalan: ‘Adakah Pakatan Rakyat masih wujud?’
Rata-rata semua 25 orang yang diwawancara telah menegaskan bahawa “Pakatan Rakyat memang wujud”.
Kata seorang penjual sayur, Ah Choy berumur 70 tahun: “Pakatan wujud, lah. Hanya kerjasama kurang baik. PKR masih bekerjasama dengan PAS dan DAP. Justeru itu, tiada masalah lah.”
Namun, media arus perdana terus memainkan isu bahawa Pakatan sudah tamat hayatnya. Ini dibuat dengan tujuan melemahkan semangat penyokong PR.
“Kita mesti terus menyokong PR, jangan pedulikan apa-apa yang dikatakan oleh pihak musuh,” sampuk seorang penjual buah-buahan di gerai sebelah penjual sayur.
Semua orang yang diwawancara berpendapat bahawa Pakatan Rakyat adalah ‘jenama’ yang baik dan patut dikekalkan.
Beberapa orang warga emas yang sedang membeli buah-buahan di pasar pagi tersebut berkata bahawa parti-parti kecil yang sehala dengan polisi PR boleh dijemput untuk menyertai PR dengan tujuan untuk memperkukuhkan Pakatan.
“Pakatan akan sentiasa wujud. Kalau adapun parti yang hendak keluar dari Pakatan, Pakatan masih boleh diteruskan. Tak perlu buang sesuatu ‘idea’ yang baik tetapi hanya perlu mengukuhkannya,” kata seorang warga emas yang merupakan penyokong tegar pihak pembangkang.
Salena Tay adalah kolumnis yang pernah menulis untuk Free Malaysia Today.com dan Rakyat Times.com