Sekolah di mana seorang gurunya bergurau mengenai murid bukan Islam minum air kencing, telah dibaling bom petrol malam tadi.
Kejadian di Sekolah Kebangsaan Ibrahim di Sungai Petani, Kedah itu berlaku pada kira-kira jam 10 malam tadi.
Menurut laporan Star Online, bom petrol itu dilemparkan ke arah perkarangan sekolah dan terkena pada dinding berhampiran pondok pengawal di pintu masuk sekolah.
Menurut laporan itu lagi, tiada kecederaan dilaporkan dan pihak polis sedang menyiasatnya.
Isnin lalu, surat aduan dari sekumpulan ibubapa bukan Islam terhadap guru tersebut tersebar di laman sosial.
Surat itu mendakwa guru berkenaan melarang pelajar bukan Islam minum di hadapan rakan mereka yang beragama Islam.
Guru itu didakwa berkata pelajar bukan Islam boleh minum air dalam tandas atau air kencing mereka sendiri di sana.
Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan kemudian berkata, beliau dimaklumkan bahawa guru itu yang merupakan guru pembantu kanan yang menjaga halehwal pelajar, hanya cuma bergurau.
Bagaimanapun, Kamalanathan berkata gurauan itu tidak dapat diterima.
Sementara itu Bernama melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata berikutan kejadian itu, dua lelaki tempatan berusia antara 20-an dan 30-an telah ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Beliau berkata motif kejadian sedang disiasat di bawah kesalahan mendatangkan bencana dengan api.