Bajet 2011 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pertengahan bulan Oktober lalu. Di antara beberapa perkara yang dibentangkan dalam Bajet itu ialah peruntukkan elaun RM500 kepada kakitangan dan pesara kerajaan. Kenaikan gaji untuk imam, guru-guru KAFA dan Ketua Kampung.
Cukai impot ke atas barangan berjenama dimansuhkan dan dikuatkuasakan pada hari Bajet dibentangkan serta-merta untuk mempromosikan Malaysia menjadi destinasi membeli-belah yang unggul di Asia. Selain itu, cukai perkhidmatan di restoran dan hospital pula telah dinaikkan dari 5 peratus ke 6 peratus. Manakala pembeli rumah kali pertama telah diberi diskaun duti setem untuk rumah di bawah harga RM350,000.
Bagaimanapun perkara terpenting yang telah menarik perhatian ramai dalam bajet kali ini ialah cadangan untuk membina Menara Warisan Merdeka di tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Cadangan itu telah mengejutkan para pemerhati ekonomi dan ahli politik pembangkang memandangkan ekonomi Malaysia masih belum pulih sepenuhnya dan permintaan untuk ruang pejabat tidak berkembang di Kuala Lumpur
Langkah ke belakang
Bagi Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Ipoh Timur projek membina Menara Warisan dengan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah langkah ke belakang mengulangi polisi ekonomi era Dr Mahathir yang terbukti menambah beban hutang kepada pentadbiran Najib kini.
“Kelihatannya zaman projek mega era Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir telah kembali semula. Jika Najib pentingkan Model Ekonomi Baru, transformasi sosial dan transformasi kerajaan yang selalu diuar-uarkan itu lebih baik beliau memberi tumpuan untuk Malaysia mencapai tangga yang ke-20 atau atau lebih atas dalam laporan indeks tahunan persepsi rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International. Beliau juga perlu memberi tumpuan kepada 10 universiti tempatan untuk dimasukkan dalam senarai 100 Universiti Yang Terbaik Di dunia.
” Soalan yang perlu ditanyakan di sini adakah Najib secara rahsia sedang bertanding dengan Tun Dr. Mahathir untuk menjadi siapa yang paling banyak mewujudkan projek mega?” soal Lim.
Mengenai Talent Corporation yang akan ditubuhkan oleh Kerajaan bagi menggalakkan rakyat yang berpelajaran tinggi pulang ke Malaysia dengan memberikan mereka ganjaran yang baik, Lim berasa ragu-ragu bahawa projek berkenaan akan berjaya.
“Terlebih dahulu Malaysia mesti memberi gambaran kepada rakyat bahawa negara ini memberi peluang sama rata kepada semua rakyat memperolehi pendapatan
yang baik supaya mereka boleh hidup dengan gembira sama ada individu mahupun keluarga,” katanya.
Sementara itu, Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor menyifatkan Bajet 2011 lebih memberi manfaat kepada penyokong Kerajaan Pusat. Sedangkan manfaat yang boleh dinikmati oleh rakyat biasa masih kurang.
“Pada keseluruhannya Bajet 2011 adalah lemah dan ini akan menghasilkan satu ‘boomerang effect’ kepada kerajaan. Selain dari itu, rakyat juga akan merasa kecewa dengan kenaikan cukai perkhidmatan di restoran dan hospital.
“Dari segi pembangunan infrastruktur pula, misalnya MRT (Mass Rail Transit), pembangunan di Sungai Buloh dan Sungai besi ia hanya menguntungkan kroni kerajaan,” ulasnya.
Dr Dzulkifly bersetuju dangan pendapat Lim bahawa pembinaan Menara Warisan Merdeka adalah membazir dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sepatutnya tidak meluluskannya jika terdapat kesukaran untuk mencari penyewa ruang pejabat di menara itu.
“PNB tentu akan meminta syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies [GLCs]) untuk menyewanya. Keadaan ini akan menimbulkan satu ‘property glut’ di mana terdapat terlalu banyak ruang pejabat, melebihi dari permintaan,” katanya lagi.
Bagaimanapun beliau memuji tindakan kerajaan memberi diskaun duti setem untuk pembelian rumah berharga RM350,000 ke bawah. Ia suatu perkara baik menggalakkan orang ramai membeli rumah cuma gesanya jangan sampai wujud ‘non-performing loans (NPL)’ di mana pembeli tidak dapat membayar-balik pinjaman mereka.
Ahli Parlimen Kelang, Charles Santiago pula sangsi bajet yang dibentangkan mampu memberi jawapan kepada masalah ekonomi yang sedang dialami oleh negara. Menurutnya imej negara di mata pelabur asing telah merosot berbanding sepuluh tahun lalu. Agak sukar untuk mereka membuka perniagaan tanpa kerajaan menjamin ketelusan sistem pentadbiran dan kehakiman di Malaysia.
“Kerajaan tidak mengambil langkah untuk merombak institusi-institusi negara seperti badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya
Pilihanraya (SPR) dan lain-lain untuk mengembalikan keyakinan pelabur.
“Malaysia juga patut mengamalkan pengagihan kekayaan yang adil, bukan hanya dinikmati oleh sebilangan tauke-tauke besar yang mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah. Pengagihan kekayaan negara yang tidak adil ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia berhijrah ke luar negara untuk bekerja di Australia, Britain dan Amerika Syarikat. Juga ramai antara mereka yang terus memohon kerakyatan negara-negara tersebut.
“Kerajaan Malaysia yang kurang innovatif memang sukar menarik balik rakyat yang telah berhijrah ke negara asing. Lagipun, Kerajaan kurang mengamalkan prinsip-prinsip ketelusan, akauntabiliti dan amalan pengurusan yang baik . Semua ini yang boleh mendorong minat rakyat Malaysia untuk kembali ke tanahair tidak diamalkan,” jelasnya.
Berkenaan projek mega beliau tidak yakin ia mampu memberi pulangan jangka panjang kepada negara memandangkan dasar pembelaan ekonomi kepada semua rakyat tidak diamalkan dengan berkesan.
“Projek mega boleh menjana pendapatan negara tetapi untuk masa yang singkat sahaja, selepas itu kita akan kembali kepada masalah-masalah
ekonomi yang asal,” sinisnya.