Semakin hampir dengan tarikh penubuhan ‘parti Islam baharu’ oleh beberapa pihak tidak senang dengan perkembangan yang berlaku dalam PAS hari ini, pelbagai ulasan dibuat mengenai fungsi parti baharu tersebut.
Sebelum ini, Presiden parti KITA, Zaid Ibrahim menegaskan parti baharu itu haruslah pada peringkat awalnya menerima keanggotaan Melayu sahaja. Keanggotaan pelbagai kaum, kata Zaid, akan melemahkan arah perjuangannya.
Zaid berpendapat profesional PAS yang bakal mengemudikan parti baharu itu adalah bukan ulama dan tidak ada keistimewaan memakai gelaran tersebut; sekiranya mereka mengambil keanggotaan pelbagai bangsa maka parti baharu itu tidak berbeza dengan PKR dan DAP.
Terbaharu, seorang pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang enggan dikenali memberi ulasan agar parti baharu ini bertanding di kawasan Pantai Barat dan Malaysia Timur sahaja. Katanya, sangat sukar untuk memecahkan kubu kuat PAS di Pangai Timur Semenanjung dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14. Bagaimanapun, usaha mungkin lebih mudah sekiranya parti baharu itu berjaya memenangi beberapa kerusi di Pantai Barat.
“Dah jelas parti baharu ini mewakili Islam dan bukan Islam. Tapi kawasan Pantai Timur sebaik-baiknya diserahkan kepada PAS (kerana sukar memecahkan kubu kuat mereka),” katanya kepada wartawan suarapakatandaily.
Pensyarah itu juga meramalkan akan berlaku lebih banyak fitnah daripada parti pemerintah terhadap parti baharu lantaran tekanan luar biasa yang dihadapi mereka walaupun BN telah berjaya menghancurkan Pakatan Rakyat dan PAS.
“Pada hemat saya, selepas ini akan ada banyak lagi mehnah yang datang daripada Umno kerana parti itu kelihatannya akan karam (sedikit masa lagi), insyaAllah,” katanya.
Berhubung kemusnahan Umno, penganalisis politik yakin tempoh itu akan menyusul selepas binasanya PAS. Agen parti memerintah dilihat menang dalam pusingan pertama dengan kemusnahan PR tetapi mereka akan menerima pukulan maut apabila gabungan pembangkang bangkit semula beberapa bulan lagi.
Menurut penganalisis apabila Umno berasa mereka kuat maka pemerintah tidak lagi memperdulikan suara rakyat. Mereka sesuka hati menarik balik subsidi minyak dan mengumumkan kenaikan setiap bulan. Umno BN juga bakal menaikkan harga tol.
Kemusnahan pemerintah, jika menilai tahap kemarahan rakyat, menghampiri era kejatuhan rejim Suharto di Indonesia pada 1998, apabila rejim menaikkan harga minyak tanah, minyak masak dan bahan bakar.
Suharto dijatuhkan melalui revolusi ganas jalan raya manakala Umno BN mungkin dijatuhkan dalam revolusi peti undi pada PRU ke 14 kelak.