(Oleh: Selena Tay)
“Kerajaan ni dah gila. Asyik naikkan harga minyak! Saya pernah baca artikel, bila harga semua jenis barang mengalami kenaikan, bermakna sesebuah negara itu sedang menuju ke arah kebankrapan.
“Jangan-jangan kita akan jadi seperti Greece,” kata seorang pemandu teksi yang sedang bersarapan pagi di sebuah kedai kopi Cina di Kepong Baru ketika ditemuramah wartawan suarapakatandaily.
Itulah pendapat rata-rata masyarakat Kuala Lumpur sebaik sahaja kerajaan BN menaikkan harga RON 95 daripada RM2.05 seliter kepada RM2.15 seliter berkuat kuasa mulai 1 Jun 2015.
Hakikatnya, harga Brent Crude Oil yang menjadi pengukur harga minyak dunia telah turun daripada AS$69 setong kepada AS$63.59 sepanjang bulan Mei – Jun yang lalu. Oleh itu, rakyat tertanya-tanya mengapakah harga RON95 di negara kita mengalami kenaikan?!
“Kerajaan sudah mungkir janji. Dulu masa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13, mereka kata tidak akan naikkan harga barang, mengapa sekarang asyik saja naikkan harga itu dan ini?” tanya seorang pemandu van yang tidak berpuas hati.
Selain daripada itu, kerajaan mengumumkan bahawa kenaikan harga minyak pada masa hadapan tidak akan diumumkan di media arus perdana bagi mengelakkan kesesakan di stesen minyak.
Namun bagi rakyat, mereka nampak isyarat jelas situasi ekonomi sedang mengalami masalah dan semakin memburuk dari sehari ke sehari.
“Kalau ekonomi bagus, tak perlulah GST (Cukai Barangan Dan Perkhidmatan) dan tak perlulah naikkan harga minyak. Tengok nilai mata wang Ringgit pun asyik jatuh merudum saja. Dah RM3.80 untuk 1 Dolar Amerika dan RM2.84 untuk 1 Dolar Singapura,” kata seorang lagi yang tidak berpuas hati dengan siri kenaikan harga.