KENYATAAN MEDIA: PAS Kawasan Batu Gajah meneliti maklum balas Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2014 mengenai aktiviti Kementerian / Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan serta aktiviti Badan Berkanun Persekutuan dan Pengurusan Syarikat Subsidiari yang berkaitan dengan Projek Udang Putih di Kampung Sungai Kerang dekat Bukit Gantang, ternyata projek tersebut terdapat kepincangan dan ianya boleh disifatkan sebagai Projek ‘Gajah Putih’.
Projek Pihak Berkuasa Pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara atau Northern Corridor Economic Region (NCIA) dengan Syarikat Ace Front Industries Sdn. Berhad (AFISB) yang telah menandatangani perjanjian pada 26 Julai 2010 bagi melaksanakan Program Akuakultur Sungai Kerang (PASK) dengan nilai kos berjumlah RM 25 Juta dan NCIA telah membiayai sejumlah RM 14 Juta sebagai gerannya. Skop pembiayaan NCIA meliputi pembinaan kolam udang putih bernilai RM 4 Juta dan kemudahan Pemprosesan termasuk perolehan bangunan serta peralatan bernilai RM 10 Juta bagi tujuan Projek PASK tersebut.
Berdasarkan lawatan Audit pada 14 Oktober 2014 ke kolam penternakan udang putih di Kampung Sungai Kerang mendapati 28 kolam telah dibina termasuk 4 kolam yang menggunakan dana syarikat. Syarikat AFISB telah mengeluarkan sebanyak 226 tan metrik udang putih untuk pasaran tempatan sehingga bulan Oktober 2014. Pihak Audit mendapati hanya 4 kolam yang digunakan untuk menternak udang, 6 kolam dalam proses penyediaan kolam untuk kemasukan benih udang dan 15 kolam lagi tidak digunakan.
Syarikat memaklumkan kolam tidak diguna atas faktor kitaran rehat (break cycle) untuk rawatan penyakit Early Mortality Syndrome (EMS). Syarikat AFISB memaklumkan sebanyak 3 kolam lagi mengandungi mineral besi yang tinggi dalam tanah menyebabkan kolam tidak sesuai untuk penternakan udang putih. Selain itu, syarikat AFISB telah mengambil inisiatif membina kemudahan penetasan anak udang di lokasi tersebut bagi mengatasi masalah kekurangan benih. Maklum balas daripada NCIA yang diterima pada 24 April 2015 mendapati semua kolam syarikat AFISB telah dijangkiti penyakit EMS sejak tahun 2013.
Satu lagu pendedahan Laporan Audit ialah semakan terhadap minit mesyuarat Jawatankuasa Bersama Program Akuakultur Sungai Kerang Bilangan 2 / 2013 bertarikh 19 Ogos 2013 mendapati syarikat AFISB ada menetapkan Indikatur Prestasi Utama (KPI) syarikat untuk pengeluaran ladang ternakan udang sebanyak 10 tan metrik sebulan atau 380 tan metrik bagi tempoh bulan September 2011 sehingga Oktober 2014.
Bagaimanapun, KPI syarikat AFISB tidak tercapai bagi tempoh September 2011 sehingga 31 Oktober 2014 iaitu jumlah pengeluaran adalah sebanyak 226.92 tan metrik atau 59.7% sahaja. Ianya jelas bahawa Projek PASK tidak mencapai objektifnya dan setelah melepasi 5 tahun pelaksanaannya ianya amat merugikan. Ianya jelas satu projek yang tempang kerana bermula dengan lokasi yang dipilih termasuklah kegagalan membekalkan udang putih yang sepatutnya seolah-olah perancangan yang tidak dinilai sebaiknya sebelum satu perancangan diadakan seperti Projek PASK tersebut.
DR MOHD NURI AL-AMIN merupakan Yang DiPertua, PAS Kawasan Batu Gajah.