Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia mendakwa tidak mustahil pelancong yang berkunjung ke Malaysia akan menganggap negara ini “kembar” Bangladesh kerana penguasaan kaum itu dalam kebanyakan sektor pekerjaan negara.
Wartawan Tarmizi Abdul Rahim berkata fenomena berkenaan tidak mustahil berlaku jika kerajaan tidak mengambil tindakan mengehadkan warga asing bekerja dalam sektor yang dibenarkan saja.
“Bagi mereka (pelancong), semua wajah penduduk negara ini handsome, hidung mancung persis Datuk Shah Rukh Khan. Pasti pada masa itu, penduduk sebenar negara ini bangga kerana mendapat pengiktirafan percuma itu.
“Apabila mengambil teksi, pemandunya ‘berhidung mancung’, singgah di stesen minyak – juruwangnya juga hidung mancung, menginap di hotel – front liner hotelnya juga mempunyai iras Shah Rukh Khan, rasa lapar dan pergi ke restoran atau pasar basah – pelayan dan penjualnya juga iras-iras Salman Khan,” katanya menerusi ruangan Dimensi di akhbar itu hari ini.
Tarmizi berkata, warga asing perlu disekat daripada bekerja dalam sektor tertentu dan warga tempatan tidak seharusnya bersaing dengan mereka mendapat sesuap nasi.
Katanya, pekerja tempatan seharusnya berupaya menyaingi kebolehan pekerja asing supaya diterima majikan terutama dalam aspek sahsiah diri dan kebolehan berbahasa Inggeris.
“Mungkin secara luarannya apabila diadakan pertandingan bagi memilih pekerja, warga asing ini menang kerana kononnya berwajah handsome, boleh ‘speaking’, rajin dan tidak pemalas.
“Maknanya, pekerja tempatan terutama golongan belia kenalah ambil kesempatan untuk mengatasi kelemahan yang dimiliki. Handsome itu anugerah Allah, jadi sebagai alternatifnya, perkemaskan diri dan jaga penampilan, jangan sesekali datang bekerja atau semasa temu duga dalam keadaan serabai dan berketiak hangit,” katanya.
Semalam, Pemuda PKR mendedahkan syarikat Bestinet Sdn Bhd dijangka mendapat durian runtuh dengan meraih keuntungan RM150 juta selepas Putrajaya mengumumkan pengambilan masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh secara berperingkat bagi memenuhi permintaan pelbagai sektor.
Ketua penerangannya, Lee Chean Chung berkata, Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FMCMS) yang mewajibkan setiap pekerja asing membayar RM100 kepada kontraktor untuk saringan kesihatan bio perubatan di negara asal pekerja asing mampu membawa keuntungan besar jika dikendalikan syarikat dikuasai Umno itu.
“Ini tidak termasuk keuntungan yang diraih melalui pengambilan pekerja asing sedia ada seperti warga Indonesia, Filipina, Myanmar dan Nepal,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu itu berkata, pengumuman itu menjawab persoalan punca FMCMS dikuatkuasakan secara tergesa-gesa, malah semua kaunter imigresen ditutup sepenuhnya untuk urusan visa dan Rujukan (VDR) mulai semalam.
Lee berkata, pelaksanaan sistem itu bakal mencetuskan ketegangan dengan agensi tenaga kerja serta kementerian di Nepal apabila mereka diwajibkan untuk menggunakan sistem bio perubatan.