Apakah sindrom kekalahan di Galas, DUN yang dijangka Pakatan rakyat menang mudah akan berlaku di Tenang? Kesan kekalahan Galas masih terasa bukan sahaja di kalangan ahli politik PR tetapi kepada para penyokong di peringkat bawahan. Selepas kalah teruk di Kelantan pada pilihanraya umum 2008 BN sepatutnya tidak mempunyai taring lagi.
Momentum kebangkitan PR yang dinamakan tsunami politik dikira akan terus melanda sehingga PRU ke 13 dan penyudahnya adalah menguasai kerajaan persekutuan. Malangnya bukan itu yang terjadi, sebaliknya kubu pembangkang satu demi satu robek. Selepas Hulu Selangor kini Galas pula. Apa yang menyebabkan BN dengan mudah bangkit semula di kawasan majoriti Melayu ini?
Jawapannya mudah, penguasaan media. Semenangnya selepas PRU 2008 media arus perdana yang pro-BN seakan-akan suram dan ditinggalkan pembaca serta penonton. PR berpuas hati dengan 7 siri pilihan raya kecil dimenangi mereka. Jualan akhbar arus perdana pula susut sehingga separuh daripada jumlah biasa. Penonton stesen televisyen pula tidak mempercayai berita di stesen pro-BN.
Media alat propaganda
PR terpedaya dengan analisis mudah seperti itu. Sedangkan media adalah alat propaganda yang berkesan. Penipuan yang diulang-ulang akan dianggap satu kebenaran. Media arus perdana sepanjang tempoh dua tahun tidak pernah jemu menyiarkan berita kelemahan kerajaan pembangkang. Dari isu air, tanah, cukai pintu, pungutan sampah, longkang tersumbat sampailah isu kemiskinan rakyat di negeri PR. Di samping menyiarkan kecacatan PR kehebatan BN juga ditekankan.
Tokoh ekonomi, akademik, artis sampailah ke rakyat biasa di tepi jalan ditemuramah. Berselang seli ditunjukkan bukti kelemahan PR. Sampai bila rakyat mampu bertahan. PR pula amat daif dengan media cetak yang tidak bertambah biarpun telah menang beberapa negeri. Ada akhbar bebas yang menyokong mereka tidak pula diberi bantuan dan lebih senang dibiarkan mati begitu sahaja.
Akhirnya tiada apa untuk PR bersuara melainkan blogers yang menolong mereka dalam pilihanraya lalu. Maka benarlah keluhan Raja Petra ketika bertemu Anwar di London bulan lalu bahawa PR terlalu lembab dalam melakukan reformasi media. Malah kata Raja Petra blogers pro-PR banyak yang enggan berkempen untuk PRK Galas dan Batu Sapi.
Lemas dalam serangan
Apabila tiba pilihanraya terbukti pemimpin PR lemas oleh serangan bertali arus media gergasi BN yang boleh ditonton dan berada di pasaran hari-hari. Bukan tidak ada percubaan menjawab dengan Harakah tetapi kekerapannya tidak cukup dan bukan dari semua sudut yang mampu disentuh Harakah. Kes tanah ladang rakyat misalnya tidak dijawab dengan baik.
Begitu juga di Hulu Selangor, akhbar rasmi kerajaan negeri, Selangorkini tidak sampai ke sana. Malah isu laporannya tidak menyentuh mengenai penderitaan rakyat biasa sehari-hari. Mengapakah kerajaan Selangor yang kaya tidak menaja akhbar lain yang boleh melaporkan pada sudut yang lebih rapat dengan rakyat? Isu rakyat terbiar begitu sahaja sehinggalah PRK dan dicungkil satu persatu oleh BN.
PR segera mendapatkan tangki oksigen dengan cara lama; edaran risalah, CD dan ceramah, sedangkan pemahaman sesuatu isu telah lama dipasak ke benak rakyat oleh media pro-BN.
Apakah dalam PRK Tenang nanti PR akan karam lagi oleh gelombang kecanggihan berkempen BN. Sama-samalah kita tunggu dan lihat.