Gelombang penghijrahan pemimpin muda PAS ke dalam DAP sering ditohmah sebagai mengkhianati perjuangan Islam dan mempunyai agenda kepentingan peribadi.
Bagi bekas peguam muda PAS yang menyertai DAP baru-baru ini, Zulhazmi Shariff, beliau menyertai parti berbilang kaum itu atas dasar kesedaran sendiri bukannya atas desakan mana-mana pihak yang ‘meminta’ beliau menyertai parti terbabit.
Zulhazmi yang menyerahkan borang permohonan keahlian DAP di Majlis Berbuka Puasa di Sunway Putra anjuran Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng selepas mengumumkan keluar PAS pada 15 Jun lalu berkata, penyertaannya kelak ke dalam parti baharu itu adalah untuk membuang tanggapan orang Melayu kononnya DAP parti perkauman Cina.
“Saya menaruh harapan penuh agar lebih ramai aktivis Melayu menyertai DAP kerana selama ini parti itu telah berusaha kuat membuang persepi masyarakat bahawa DAP adalah parti cauvinis Cina,” katanya dalam satu kenyataan teks kepada Suarapakatandaily.
Zulhazmi menjelaskan, kemasukannya ke dalam DAP bukanlah kerana kecewa terhadap golongan profesional PAS atau G18 yang kelihatan kurang bersedia menubuhkan parti baru.
Tegas Zulhazmi, sifat keterbukaan DAP adalah faktor utama menyebabkan beliau tertarik menyertai parti itu. Katanya, DAP lebih fokus terhadap objektif perjuangan dan organisasi parti itu amat teratur serta konsisten dalam strategi berpolitik.
Ketika diajukan soalan mengenai perancangan bersama DAP, Zulhazmi berkata isu terbabit terserah kepada DAP pusat untuk menentukan sumbangan yang mereka perlukan.
“Saya bersedia menyumbang kepakaran yang ada jika diperlukan,” akhiri beliau.