KUANTAN, 28 April – Susulan bantahan rakyat berhubung dengan isu Lynas yang semakin memuncak sekarang ini, maka satu sesi taklimat dan dialog dengan badan yang mewakili Peguam Pahang telah diadakan di Putra Balok, dekat sini malam tadi. Majlis yang diadakan secara tertutup itu telah dihadiri hyga okeh orang awam dan beberapa orang peguam. Menurut Pengerusinya, Hon Kai Ping (foto), inilah kali pertama dalam sejarah Peguam Pahang menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menangani isu rakyat seperti ini. “Kami melihat, banyak persoalan yang masih belum dijawab oleh kerajaan dalam isu ini. Ia membuatkan rakyat marah dan tidak berpuas hati. Kami nampak jelas dalam sesi dialog yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang di Indera Mahkota dan Beserah baru-baru ini, rakyat tidak mahu kilang yang berisiko itu berada di kawasan ini”, katanya. Malah, tindakan kerajaan mahu menubuhkan panel khas untuk mengkaji projek itu juga tidak kena pada waktunya. Sementara itu pihak Peguam Pahang juga katanya akan membantu rakyat untuk membawa perkara itu ke atas termasuklah dengan pihak istana sendiri.
“Kenapa baru sekarang mahu tubuh panel khas untuk mengkaji. Atas alasan apa yang menyebabkan kerajaan sebelum ini mengatakan projek itu selamat, jika pakar-pakar luar negara baru hendak dibawa untuk mengkaji?. Bukankah ini sesuatu yang memusykilkan rakyat sebenarnya. Malah, pakar-pakar itu bukannya menetap di kawasan yang terlibat. Apakah mereka akan bertanggungjawab jika sesuatu kes berlaku selepas beberapa tahun kilang itu beroperasi?. Akhirnya rakyat yang akan menjadi mangsa”,”Kami akan melakukan sedaya upaya yang mungkin demi keselamatan, kesejahteraan dan masa depan generasi akan datang”katanya.