Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH 2.0) membayangkan untuk mengadakan sebuah lagi demonstrasi selepas hari raya nanti.
“Bersempena dengan hari raya Aidilfitri ini, BERSIH 2.0 menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf andai ada yang terkasar bahasa dan terlepas kata.
“BERSIH 2.0 juga dengan rendah hati berharap agar rakyat Malaysia semuanya bersedia, andainya sekali lagi kita perlu turun ke jalan raya bagi mendesak perubahan di negara tercinta,” kata jawatankuasa BERSIH 2.0 dalam kenyataan medianya.
Dalam perutusan Aidilfitrinya, jawatankuasa BERSIH 2.0 juga melahirkan kebimbangan berhubung pelbagai kejadian yang berlaku kebelakangan ini terutamanya berhubung isu “rompakan harta rakyat” dan “rusuhan Low Yat”.
Bagaimanapun, jawatankuasa itu berkata apa yang lebih membimbangkan ialah pihak keselamatan mengambil masa lebih lima jam untuk meleraikan kekecohan tersebut walaupun kejadian itu berhampiran ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur.
Menurut jawatankuasa itu, tindakan pihak polis terhadap insiden di Plaza Low Yat, Bukit Bintang itu berbeza dengan dengan tindakan pihak berkuasa dalam meleraikan beberapa perhimpunan aman sebelum ini.
“Kita telah melihat bagaimana kumpulan-kumpulan seperti PERKASA dan yang seangkatan dengannya telah berkali-kali mengadakan demonstrasi ganas di pejabat kerajaan dan parti pembangkang tanpa diambil sebarang tindakan,” kata jawatankuasa dalam kenyataan medianya.
Sehubungan itu, BERSIH 2.0 berharap supaya rakyat Malaysia mengekalkan semangat muhibah di musim perayaan dan tolak politik perkauman yang sempit demi mengalihkan perhatian berhubung isu skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).