Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua akan memfailkan saman terhadap Lester Melanyi jika bekas wartawan Sarawak itu tidak menarik balik dan memohon maaf berhubung dakwaan yang dibuatnya dalam 2 video “pengakuan” dikeluarkan minggu lalu.
Pua, yang merupakan pengkritik tegas firma 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, beliau mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan kepada Melanyi, memberinya 7 hari untuk menjawab.
“Melanyi akan menerima surat tuntutan daripada peguam saya minggu ini dan dia akan mempunyai 7 hari untuk menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya dalam video itu yang mendapat liputan meluas.
“Melanyi melalui 2 video beliau setakat ini, menuduh saya bersubahat dengan pihak lain, asing dan tempatan, mereka dan memalsukan maklumat mengenai 1MDB untuk ‘menipu dan berbohong’ bagi mencapai apa jua matlamat dikatakan itu,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam satu kenyataan awal hari ini.
Pua berkata, beliau sangat terkejut melihat bagaimana Melanyi boleh “mengaku” terdapat komunikasi terdahulu antara kedua-dua mereka awal tahun ini.
“Yang mengejutkan saya ialah, ‘pengakuan’ Melanyi yang saya pernah ‘berhubung sekali’ dengannya pada Januari.
“Katanya, saya bertanya sama ada dia ‘terlibat dalam misi 1MDB ini’ dan dia menjawab kepada saya, dia tidak terlibat. Sebaliknya, dia mendakwa memberitahu saya supaya berhubung terus dengan Clare (Rewcastle-Brown).
“Saya tidak pernah kenal atau dengar pun nama seorang ‘Lester Melanyi’ selama hidup saya sebelum video pertama itu, usahkan pula untuk ‘berkomunikasi’ dengannya,” katanya.
Sambil mengakui yang pengakuan itu memeranjatkannya hingga menyebabkan beliau meragui ingatannya sendiri, Pua mengakui menggeledah semua emel dan senarai kenalannya bagi memastikan tuduhan itu “benar-benar palsu”.
“Dalam video terkini itu, beliau malah menuduh 90% daripada laporan Sarawak Report mengenai 1MDB dipalsukan dan hanya 10% saja yang benar,” kata Pua merujuk video ‘pengakuan’ kedua oleh Melanyi yang dikeluarkan semalam.
Menyifatkannya “penuh dengan cerita yang sangat meragukan hingga penyokong Barisan Nasional yang paling tegar pun akan mendapatinya sukar untuk dipercayai”, Pua menjelaskan, dengan “90% pembohongan” dalam dakwaan itu, 1MDB pasti dengan mudah boleh membongkar dan memalukan pihak yang bersalah sejak sekian lama.
“Tetapi sebaliknya, 1MDB selama lebih 6 bulan lepas terus-terusan enggan menyangkal dakwaan dibuat secara khusus itu, yang disokong dengan dokumen dilampirkan,” katanya.
Pua percaya video Melanyi tersebut bukan hanya satu fiksyen tetapi cubaan berniat jahat yang direka untuk memusnahkan reputasi dan kredibiliti pengkritik paling tegar 1MDB.
“Tuduhan Melanyi bermakna, saya menipu dan berbohong dalam kritikan saya terhadap syarikat yang dilanda skandal itu, dan saya juga berkonspirasi dengan individu lain melakukan perkara sama melalui Sarawak Report.
“Mengejutkan bagaimana rendahnya Barisan Nasional sanggup turun, bergantung kepada pengakuan palsu daripada seseorang yang tiada kredibiliti, untuk menjatuhkan pengkritik kerajaan,” katanya menggelar mereka terdesak kerana ingin mengalihkan perhatian rakyat daripada syarikat pelaburan milik negara yang sarat hutang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilanda masalah.