Selayang: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menemui ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan tahap pemikiran parti Umno yang lebih gemar mencari sokongan dengan mengedar VCD lucah berbanding berkhidmat kepada rakyat.
Dalam ucapannya pada majlis ‘Munajat Umat Menolak Fitnah’ di Stadium MPS baru-baru ini Khalid melabelkan Umno dan para pengedar VCD itu sebagai ‘bongok’.
Beliau kecewa apabila masyarakat yang sepatutnya dimajukan pemikiran mereka oleh pemimpin Umno, sebaliknya dibiar pula menonton aksi seks yang boleh merosakkan moral.
“Ini saya anggap satu kerja bodoh dalam negeri yang kaya. Sebagai pimpinan saya mengimpikan negara yang aman, tenteram dan rakyatnya hidup selesa (baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur)” ujarnya sambil menunjukkan VCD yang yang diedarkan di luar stadium oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“UMNO/BN di Selangor tidak boleh selesaikan masalah penduduk, yang boleh mereka buat hanyalah mengedar VCD bongok ini,” katanya disambut gelak ketawa hadirin.
Menurutnya lagi, UMNO/ BN terlalu ‘sibuk’ menabur fitnah dan meracuni fikiran rakyat sehingga tidak ada masa memikirkan soal ekonomi dan pembangunan negeri itu.
“Petang tadi saya pergi ke Kuala Selangor terdapat projek rumah terbengkalai sebanyak 6,000 unit. Mereka yang membeli rumah sudah lebih 20 tahun tidak dapat rumah dan kontraktornya pula telah lari. Penduduk di situ benar-benar kecewa dan menangis kerana rumah yang diimpikan tidak dibina.
“Saya pergi dan selesaikan dengan pemaju dan pembeli. Saya berjumpa dengan pihak kontraktor tersebut dan minta kontraktor berjanji untuk menyelesaikan masalah penduduk dengan cara memasukkan wang ke akaun Kerajaan Negeri berjumlah RM 4 juta untuk meyakinkan rakyat di situ .

Anwar tidak jatuh akibat VCD bongok
“Duit tersebut kita akan bantu rakyat yang teraniaya dalam projek perumahan tersebut. Ini lebih baik daripada edar VCD ini yang diedarkan oleh orang yang saya anggap membuat kerja bodoh serta tidak mendatangkan faedah langsung”, bidasnya.
Dalam majlis itu, Deklarasi Anti-Fitnah turut dibacakan dengan dipimpin oleh Pengerusi Saf Anti Fitnah (SAF), Cikgu Mohd Azmi Abd Hamid.
Deklarasi daripada 60 NGO tersebut menurut Azmi akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan pihak-pihak tertinggi yang lain.
Turut menyampaikan ceramah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.