Setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu berkata, sehingga kini Najib selaku menteri kewangan masih berdegil untuk membentangkan laporan awal itu yang boleh menjawab pelbagai tuduhan mengenai 1MDB.
“Dakwaan menteri (Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan) jelas tidak masuk akal. Walaupun prosiding PAC tidak boleh diumumkan sehingga laporan PAC dibentangkan di Parlimen, itu ialah laporan PAC dan bukan laporan ketua audit negara.
“PAC langsung tiada kuasa menghalang dokumen yang dihantar kepada jawatankuasa secara berasingan dipaparkan kepada umum atau pihak lain.
“Apa yang memungkinkan perkara itu terjadi ialah arahan daripada menteri kewangan yang memiliki laporan ketua audit negara,” katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.
Rahman yang juga menteri perumahan, kesejahteraan bandar dan kerajaan tempatan pada Khamis menulis di Twitter, Najib tidak mempunyai kuasa mendedahkan laporan awal 1MDB oleh ketua audit negara kerana terikat dengan aturan mesyuarat Parlimen.
Katanya, laporan yang dihantar dan dibincangkan oleh PAC tidak boleh didedahkan sehingga ia dibentangkan di Parlimen.
Pua berkata, mengapa Rahman yang merupakan pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional cuba melindungi mereka yang bersalah terlibat dalam penyelewengan dan penipuan dengan memetik peraturan tidak wujud.
Katanya, Rahman mesti berhenti memberi alasan rapuh dan tidak dapat dipertahankan bagi menghalang laporan awal 1MDB oleh ketua audit negara disiarkan kepada umum.
“Lebih banyak yang beliau lakukan, lebih ramai akan percaya pentadbiran Najib menyembunyikan kebenaran dan kebenarannya ialah dana 1MDB hilang melalui penyelewengan dan jenayah pecah amanah.
“Ia akan mengukuhkan persepsi yang menteri tersebut seboleh mungkin melindungi penjenayah atas kesalahan menipu transaksi berbilion ringgit.
“Menteri tersebut perlu sedar kebenaran pasti akan terserlah jua dan ia tidak akan berjaya disembunyikan,” katanya.