Barisan Nasional (BN) akan kalah sekiranya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilakukan dalam tempoh terdekat ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kebimbangan timbalan perdana menteri itu susulan melihat maklum balas rakyat akar umbi yang mula menunjukkan sokongan yang berkurangan terhadap parti itu.
“Dan walaupun kita menang namun pada waktu itu jika undi popular berterusan turun sebanyak 2%, maka ia akan menyaksikan BN kalah dalam PRU akan datang.
“Juga saya ada bertanyakan dalam pertemuan retreat dengan pimpinan Wanita Umno di Putrajaya.
“Saya tanya bagaimana kalau perdana menteri bubar Parlimen adakah kita akan menang atau tidak? Tidak ada seorang pun yang menjawab yakin untuk menang,” katanya ketika berucap di mesyuarat Umno Cheras di Kuala Lumpur malam ini.
Beliau yang juga menteri pendidikan berkata, ramalan kekalahan BN berdasarkan isu semasa seperti masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kenaikan kos sara hidup hasil dasar dan polisi kerajaan yang dilihat tidak memihak kepada rakyat.
“Jadi banyak perkara yang perlu diteliti. Mengapa ada begitu banyak masalah? Saya sebut ini kerana saya juga sebahagian daripada sistem yang bertanggungjawab mengurus negara membantu perdana menteri.
“Saya bimbang kalau urusan masalah sebegini tidak diurus dengan betul dan dibiarkan begitu saja seperti apa dikatakan Tun Musa Hitam kita ini ada sindrom bisu. Kita masih rasa gah dan kukuh walaupun (sebenarnya) realiti tidak begitu,” katanya.
Beliau berkata kalau dulu isu keselamatan menjadi masalah utama di negara ini namun kini ia berubah apabila membabitkan peningkatan ekonomi secara mendadak.
“Ini adalah realiti dan ada hubung kait dengan dasar parti dan dasar kerajaan. Apa dia dasar itu yang kita perlu lihat.
“Apakah kerana masalah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) begitu serius.
“Saya memang sokong GST tapi sekarang ini kita lihat begitu banyak kesan, harga meningkat naik malah yang tidak dikenakan GST juga harganya melambung tinggi.
“Ini tidak ditambah dengan isu politik yang menjadi beban kepada kita.
“Saudara cuba kalau kita jemput 10 orang berada di atas jalan dan tanya mereka. Adakah kamu akan sokong BN? Ramai yang akan kata tidak akan sokong,” kata timbalan pengerusi BN itu.
Beliau berkata kenyataannya itu bukan bermaksud menentang kerajaan ataupun perdana menteri, tetapi ia harus dilihat sebagai amaran untuk memperbaiki kelemahan pentadbiran kerajaan dan parti.
Muhyiddin berkata, jika tidak ada tindakan segera untuk menangani masalah itu, maka ianya akan menyaksikan BN terkubur