KENYATAAN MEDIA: Saya ingin merujuk satu laporan Bloomberg bertajuk “KLIA is still sinking, Air Asia CEO warns” yang bertarikh 27 Julai 2015. Dalam laporan tersebut CEO Air Asia Aireen Omar berkata “The defects could cause flight delays, increase wear and tear on planes and pose potential safety risks”.
Ini amat mengejutkan. Perkara ini telah dibangkitkan oleh saya dan ahli-ahli parlimen lain sebelum KLIA2 dibuka pada 2 Mei 2014. Tetapi selepas lebih satu tahun beroperasi, masalah ini masih berterusan.
Pada bulan Disember 2014, Menteri Pengangkutan mengumumkan satu Independent Audit Committee yang diketuai oleh Datuk Dr Chuah Hean Teik untuk menyiasat sebab-sebab mendapan dan cara penyelesaian. Laporan tersebut sepatutnya diumumkan sebelum bulan Jun 2015. Tetapi sehingga kini, laporan tersebut masih dilewat-lewatkan seperti pembinaan KLIA2 yang sentiasa menghadapi kelewatan.
Saya ingin mendesak Menteri Pengangkutan mengumumkan laporan siasatan tersebut dengan serta merta. Ini adalah penting untuk memulihkan keyakinan para penumpang domestic dan antarabangsa tentang keselamatan mereka. Selepas 3 insiden nahas kapal terbang, Malaysia tidak berupaya lagi (cannot afford) melengah-lengahkan masalah keselamatan penerbangan.
Kedua, Kementerian Pengangkutan kelihatan gagal dalam menyelesaikan permasalah KLIA2. MAHB kelihatan boleh bertindak sewenang-wenangnya.
Mengikut Plan Induk KLIA yang disediakan oleh Anglo-Japanese Corp Bhd, tapak utara adalah tanah kukuh yang lebih sesuai untuk membuat terminal baru. Tetapi MAHB mengambil keputusan membina KLIA2 di tapak barat yang merupakan tanah gambut. Ini telah diketahui sejak 1992! Selain itu, perubahan rekabentuk finger pier kepada satelit concept yang memakan belanja jauh lebih besar juga diputuskan oleh MAHB. Keputusan yang mencurigakan (questional decisions) telah dibangkitkan oleh ahli-ahli parlimen, tetapi sehingga sekarang persoalan-persoalan tersebut masih belum dijawab secara terus terang.
Saya mendesak menteri pengangkutan menjawab adakah pihak kementerian bersetuju atau tidak bersetuju perubahan Pelan Induk KLIA oleh MAHB? Apakah rasional perubahan tapak tersebut? Apakah justifikasi perubahan rekabentuk kepada satelit concept? Siapakah yang membuat keputusan-keputusan tersebut, pegawai mana dalam MAHB dan Kementeri Pengangkutan?
Ketiga, MAHB seolah-olah berkuasa penuh menjalankan segala urusan KLIA2 tanpa mematuhi arahan Kementerian Penangkutan. Menteri Pengangkutan telah mengarah KLIA2 menyelesaikan masalah mendapan sejak tahun lepas, kenapa arahan diingkari? Menteri Pengangkutan nampak lemah dalam isu-isu berkaitan MAHB.
Ketua Eksekutif Air Asia Group Tan Sri Tony Fernandez telah membangkitkan isu ketiadaan pengawal selia penerbangan (Aviation Regulator) menyebabkan MAHB boleh bertindak sewenang-wenangnya. Saya ingin mendesak Menteri Penangkutan menjawab bagaimana kerajaan mengawal selia MAHB. Adakah kerajaan bercadang untuk melantik pengawal selia penerbangan?
Kesimpulannya, tanggungjawab ke atas keselamatan penumpang kapal terbang adalah terjatuh ke atas Kementerian Pengangkutan. Menteri Penangkutan telah berkhidmat lebih 1 tahun sebagai menteri Pengangkutan. Beliau tidak boleh lemah dan memberi pelbagai alasan. Rakyat tertunggu-tunggu melihat apakah kemampuan beliau menyelesaikan masalah yang serius ini.
Sim Tze Tzin merupakan Ahli Parlimen Bayan Baru