KENYATAAN MEDIA: KEADILAN Johor telah selesai mengadakan satu Retreat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor yang berlangsung pada 25 Julai 2015 dan 26 Julai 2015 di Desaru. Retreat ini dihadiri oleh pimpinan negeri dan semua pimpinan tertinggi cabang dimana perbincangan adalah menjurus kepada persiapan bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 termasuk persiapan jentera, isu-isu rakyat dan juga kawasan tumpuan.
Resolusi yang dicapai melalui retreat adalah seperti berikut:
1. KEADILAN Johor mengambil maklum bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud dan bersedia untuk mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana parti, NGO-NGO dan individu-individu yang bersedia melawan UMNO Barisan Nasional, sejajar dengan pendirian KEADILAN.
2. KEADILAN Johor akan menampilkan lebih ramai pimpinan muda, pelbagai latar belakang dan bangsa yang lebih progresif, dimana mereka ini bersedia memimpin dan membawa perubahan pada PRU ke-14 khususnya di negeri Johor.
3. KEADILAN Johor memutuskan bahawa semua kerusi yang ditandingi oleh KEADILAN pada PRU-14 iaitu 12 kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertahankan.
4. Berdasarkan kekuatan jentera serta maklumbalas akar umbi dan rakyat tempatan, KEADILAN juga memutuskan untuk bertanding sekurang-kurangnya 8 lagi kerusi DUN tambahan. Setakat ini 3 kerusi DUN yang telah dikenalpasti adalah DUN Gambir (Ledang), DUN Puteri Wangsa (Tebrau) dan DUN Permas (Pasir Gudang).
5. Ini bermakna, KEADILAN Johor akan kekal bertanding di 12 kerusi Parlimen dan bersedia untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada 56 kerusi DUN.
Retreat MPN KEADILAN Johor ini turut dihadiri oleh Dato’ Saifuddin Nasution, pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) KEADILAN dan YB Sim Tze Tzin, Pengarah Strategi KEADILAN. Mereka akan memajukan resolusi Retreat KEADILAN Johor ini kepada pimpinan KEADILAN pusat.
KEADILAN Johor juga telah mengarahkan semua cabang-cabang untuk memperkemaskan gerak kerja masing-masing dan terus memperbanyakkan aktiviti-aktiviti mesra rakyat.
Hassan Karim adalah Pengerusi KEADILAN Johor