KENYATAAN MEDIA: Malaysia terjerumus ke gaung krisis yang makin parah dengan penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dari kabinet hanya beberapa hari selepas beliau memberi kenyataan Perdana Menteri perlu memberikan jawapan kepada skandal 1MDB.
Pemecatan Abdul Ghani Patail selaku Peguam Negara, salah seorang anggota panel menyiasat skandal 1MDB, memberikan gambaran Perdana Menteri bertindak untuk mempertahankan kedudukan dan regimnya dari disiasat oleh panel bebas atas pelbagai salahguna kuasa dan rasuah yang melibatkan berbilion ringgit.
Negara memerlukan reformasi menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa demi menyelamatkan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Ahli-ahli parlimen tanpa mengira parti perlu bersatu padu untuk menyelamatkan Malaysia. Rakyat tidak memberikan dukungan kepada mana-mana ahli parlimen untuk duduk diam dan membiarkan negara menjunam ke dalam gaung krisis yang semakin parah.
Dalam pertemuan saya selama lebih dua jam pada Jumaat lalu, Dato’ Seri Anwar menyampaikan pesan agar rakyat Malaysia dan NGO bersatu untuk bersama dalam membawa perubahan.
Parti Keadilan Rakyat telah memulakan siri jelajah Amanat Presiden sejak seminggu yang lalu untuk memupuk perpaduan dalam parti sebagai asas untuk menggembleng kekuatan rakyat dan semua kekuatan politik dalam negara untuk melaksanakan perubahan.
MOHAMED AZMIN ALI adalah Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan)